Rabu, 24 Julai 2019 | 3:50pm
JURUCAKAP Polis Negara Indonesia, Dedi Prasetyo.

Pengebom gereja Filipina sah rakyat Indonesia

JAKARTA: Polis Indonesia, semalam mengumumkan pengebom nekad yang menyebabkan 22 terbunuh dalam serangan di gereja Katolik di Filipina adalah pasangan suami isteri dari Sulawesi.

Mereka dikenal pasti sebagai Rullie Rian Zeke dan isterinya, Ulfah Handayani Saleh.

Ia menyusul spekulasi selama beberapa bulan selepas pihak berkuasa Filipina berkata mereka percaya dua rakyat Indonesia bertanggungjawab di atas serangan di Jolo Januari lalu.

Jurucakap Polis Negara Indonesia, Dedi Prasetyo, berkata pegawainya boleh mengesahkan maklumat mengenai perkara itu menerusi kenyataan daripada dua suspek militan, Novendri, yang ditahan di Padang, Sumatera Barat dan Yoga Febrianto, yang ditangkap di Malaysia bulan lalu.

Beliau menambah, skuad antikeganasan Indonesia, Densus 88, bekerjasama dengan Filipina untuk cuba mengenal pasti pengebom menerusi ujian DNA tetapi tidak berjaya kerana kekurangan contoh lain untuk dibandingkan dengan mayat mereka.

“Mereka memasuki Filipina secara haram, jadi identiti mereka tidak direkodkan dengan baik.

“Ada petunjuk kukuh mereka rakyat Indonesia kerana bertutur dan bersikap selepas orang Indonesia.

“Selepas penangkapan Novendri dan Yoga Febrianto, mereka mendedahkan pengebom di Filipina adalah rakyat Indonesia,” kata Dedi. — Agensi

Berita Harian X