Isnin, 29 Julai 2019 | 7:07am
Sebahagian pekerja yang membantu proses pengebumian mangsa kapal karam di Libya. Foto AFP
Sebahagian pekerja yang membantu proses pengebumian mangsa kapal karam di Libya. Foto AFP

46 mangsa kapal karam di Libya dikebumi

TAJURA (LIBYA): Pihak berkuasa Libya mengebumikan 46 mayat pendatang yang lemas selepas kapal yang mereka naiki karam di laut Mediterranean baru-baru ini.

Anggota penyelamat berkata, mereka berjaya menemui 62 mayat pendatang di luar perairan Libya selepas bot yang membawa lebihan muatan, karam di bandar Khoms, di timur Tripoli.

Pihak berkuasa pula berkata, baki 16 lagi mayat akan dikebumikan tidak lama lagi.

Proses pengebumian turut dibantu tujuh lagi pendatang yang berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa.

“Kami berjaya diselamatkan dan berada di sini, untuk membantu mengebumikan rakan, kanak-kanak dan wanita yang terbunuh,” kata seorang pendatang dari Eritrean yang terselamat, Anwar kepada AFP.

Bagaimanapun, jumlah sebenar penumpang bot itu tidak diketahui, tetapi ia dilaporkan karam kira-kira 90 minit selepas berlepas dari pantai di Libya pada malam Rabu lalu, ketika dalam perjalanan ke Eropah.

Menurut pertubuhan kebajikan antarabangsa, Doctors Without Borders, berdasarkan maklumat yang diperoleh dari mangsa terselamat, kira-kira 400 penumpang berada di atas kapal, ketika ia karam.

“Kira-kira 145 penumpang berjaya diselamatkan dan lebih 110 lagi dilaporkan hilang,” kata Pertubuhan Antarabangsa bagi Penghijrahan. - AFP

Berita Harian X