Rabu, 31 Julai 2019 | 9:30pm
FOTO hiasan.

15 pendatang Habsyah maut di tengah laut

DUBAI : Sekurang-kurangnya 15 pendatang Habsyah maut selepas bot yang dinaiki rosak, menyebabkan mereka terkandas di Teluk Aden selama seminggu tanpa bekalan makanan atau minuman.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Pendatang (IOM) dalam satu kenyataan menerusi Twitter lewat malam tadi berkata, lebih 90 pendatang Habsyah terkandas di dalam bot antara Djibouti dan Yaman selama lebih seminggu tanpa bekalan air atau makanan, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 daripada mereka meninggal dunia.

Kesemua pendatang terbabit sedang dalam perjalanan dari Djibouti ke Yaman apabila bot penyeludup yang mereka naiki mengalami kerosakan.

“Pelarian yang masih hidup memberitahu, mereka yang meninggal dunia itu berpunca daripada kebuluran, kehausan dan sengaja melemaskan diri manakala ada juga yang meninggal dunia di Yaman kerana tidak menerima kemudahan perubatan dalam masa ditetapkan,” kata IOM.

Menurut agensi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu, baki pendatang yang masih hidup berjaya tiba ke bandar pelabuhan Aden namun tidak dapat dipastikan kaedah digunakan.

Yaman terbabit dalam konflik sejak bertahun lalu membabitkan pemberontak Huthi dan kerajaan yang menerima sokongan tentera gabungan diketuai Arab Saudi.

Segala konflik itu menyebabkan negara berkenaan berada di ambang kebuluran.

Sungguh pun demikian, Yaman kekal sebagai laluan utama untuk pendatang melarikan diri dari Tanduk Afrika dan menyeberangi Teluk Aden untuk ke negara terbabit, sebelum memasuki Arab Saudi bagi mencari kerja. - AFP

Berita Harian X