Ahad, 4 Ogos 2019 | 9:22am
Duta New Zealand ke Arab Saudi James Munro (kanan), bercakap dengan keluarga mangsa serangan di Christchurch, Mac lalu, ketika tiba di Jeddah untuk menunaikan haji kelmarin. -Foto AFP

Keluarga mangsa serangan Christchurch tiba di Arab Saudi untuk tunai haji

JEDDAH: Anggota keluarga mangsa serangan pengganas masjid Christchurch, New Zealand, tiba di Arab Saudi untuk menunaikan haji atas jemputan Raja Salman.

Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah kelmarin.

Bulan lalu, Raja Salman mengarahkan, anggota keluarga serangan dua masjid New Zealand, yang mengorbankan 51 orang, ditaja untuk menunaikan haji tahun ini.

Ketibaan mereka disambut Pengarah Pasport Kolonel Sulaiman Al-Yousef dan turut dihadiri Duta New Zealand ke Arab Saudi, James Monro serta pegawai lain.

Monro berkata, jemputan Raja Salman adalah ‘tindakan sangat mulia.’

“Jemputan ini amat dihargai rakyat New Zealand, bukan hanya oleh anggota keluarga mangsa,” katanya.

Serangan ke atas Masjid Al-Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch ketika solat Jumaat pada Mac lalu mencetuskan kemarahan global.

Pengganas kulit putih dari Australia, Brenton Tarrant, 28, turut mencederakan 49 lain apabila dia melepaskan tembakan rambang ke arah masjid berkenaan. Perbicaraan ke atasnya dijangka bermula tahun depan.

Kira-kira 6,000 jemaah akan menunaikan haji tahun ini sebagai sebahagian program tetamu Dua Masjid Suci untuk haji dan umrah, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Raja Salman mengeluarkan arahan untuk menaja kira-kira 2,000 anggota keluarga askar Yaman, 1,000 jemaah dari Sudan, 200 anggota keluarga mangsa serangan Christchurch dan 1,000 anggota keluarga Palestin yang dibunuh tentera Zionis.

Jumlah peserta yang mendapat manfaat daripada program itu sejak pengisytiharannya mencecah 53,747 jemaah dari seluruh dunia.

Menteri Hal Ehwal Islam Arab Saudi, Sheikh Abdullatif Al-Asheikh berkata, menaja keluarga ketika musim haji adalah sebahagian usaha negara itu untuk berdepan dan mengalahkan keganasan dalam semua bentuk. -Agensi

Berita Harian X