Isnin, 5 Ogos 2019 | 7:49am
Penunjuk perasaan anti-ekstradisi lari daripada polis rusuhan di luar sebuah balai polis selepas bantahan di Tseung Kwan O di Hong Kong, hari ini. -Foto Reuters
Penunjuk perasaan anti-ekstradisi lari daripada polis rusuhan di luar sebuah balai polis selepas bantahan di Tseung Kwan O di Hong Kong, hari ini. -Foto Reuters

Penunjuk perasaan sasar lumpuhkan Hong Kong hari ini

HONG KONG: Penunjuk perasaan pro-demokrasi berhasrat meningkatkan tekanan ke atas pemimpin pro-Beijing dengan melancarkan mogok secara besar-besaran hari ini dalam cubaan menunjukkan masih ada sokongan meluas terhadap pergerakan mereka walaupun huru-hara selama beberapa minggu.

Bandar selatan semi-autonomi China itu menyaksikan bantahan dan pertembungan tidak dijangka selama dua bulan dicetuskan bantahan terhadap undang-undang ekstradisi kontroversi yang segera berkembang menjadi pergerakan meluas pembaharuan demokratik susulan sekatan kebebasan yang semakin terhakis.

Namun pihak berkuasa di sini dan Beijing memberi isyarat mengenai pendirian tegar mereka dengan tentera China mengatakan ia bersedia menghapuskan kekacauan ‘tidak ditoleransi’ jika diminta dan puluhan penunjuk perasaan didakwa atas tuduhan merusuh.

Polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan pada malam Sabtu dan Ahad.

Pergerakan bantahan yang sebahagian besarnya tanpa pemimpin itu menggunakan aplikasi mesej sosial untuk menyelaras dan tindakan itu jelas mendapat perhatian berbanding gesaan sebelumnya sejak beberapa minggu lalu.

Dalam sidang media kelmarin, penganjur bantahan yang mana ramai menyembunyikan identiti mereka di sebalik topeng berkata, kira-kira 14,000 orang dari lebih 20 sektor komited mengadakan perhimpunan awam.

Penduduk dari segenap golongan menyokong rancangan itu dalam talian sama ada mogok atau cuti sakit hari ini, daripada kakitangan awam dan pekerja sosial sehinggalah kru penerbangan, juruterbang, pemandu bas dan malah kakitangan Disneyland.

Ada juga gesaan diperbaharui untuk mengganggu sistem kereta api bawah tanah ketika waktu puncak awal pagi ini.

Aktivis melaksanakan pelan sama minggu lalu yang menjurus beberapa jam kesesakan serta kelewatan, namun tidak begitu berjaya melumpuhkan bandaraya berkenaan.

“Ada halangan psikologi terhadap penduduk yang mogok. Saya benar-benar memahami bagaimana sesetengah orang akan berdepan tekanan besar daripada penyelia mereka,” kata penunjuk perasaan yang juga paderi, Monica Wong, 40, kepada AFP semalam.

Dalam satu kenyataan lewat semalam, kerajaan Hong Kong memberi amaran supaya penduduk tidak menyertai mogok itu, mengatakan ia mungkin menjejaskan lagi ekonomi.

“Sebarang mogok skala besar dan tindakan keganasan akan menjejaskan kehidupan dan aktiviti ekonomi penduduk Hong Kong,” katanya.

Selain mogok, penunjuk perasaan merancang mengadakan bantahan di tujuh bahagian berbeza bandaraya itu, empat hari berturut-turut bantahan dijadualkan. -AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X