Jumaat, 16 Ogos 2019 | 5:55pm
Keranda yang mengandungi mayat tiga tentera Pakistan yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera India di sempadan Kashmir, semalam. Foto AFP

OIC kutuk sekatan komunikasi, pelanggaran hak asasi di Kashmir

JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya sekatan keselamatan, komunikasi dan kebebasan beragama di wilayah dikuasai India di Kashmir (IOK).

Arab News yang memetik kenyataan Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia OIC melaporkan bahawa pertubuhan itu bersama dengan masyarakat antarabangsa mengutuk sekatan keselamatan atau perintah berkurung dan sekatan komunikasi di Kashmir oleh tentera India, yang dilaksanakan ketika sambutan Aidiladha.

“Media tempatan dan antarabangsa secara meluas melaporkan bahawa penduduk Kashmir dihalang daripada menunaikan sembahyang hari raya di Masjid Jama di Srinagar dan beberapa masjid lain, kerana bimbang bantahan daripada kerajaan.

“Langkah pentadbiran yang tidak wajar dan sewenang-wenangnya ini menghalang rakyat Kashmir daripada menjalankan upacara keagamaan mereka, sekali gus melanggar hak kebebasan beragama, termasuk hak untuk mengajar dan mempraktikkannya yang dijamin mengikut Fasal 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat serta Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik, Deklarasi Penghapusan Segala Bentuk Ketidakhadiran dan Diskriminasi Mengikut Agama atau Kepercayaan serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa lain,” kata kenyataan itu.

OIC dalam kenyataan itu juga menggesa Setiausaha Agung PBB dan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB supaya segera campur tangan, termasuk mendesak Kerajaan India supaya menarik balik perintah berkurung di Kashmir dan mengembalikan kebebasan kepada penduduk di wilayah itu.

“Ketika mengalu-alukan kenyataan Setiausaha Agung PBB mengenai situasi semasa di Kashmir (IOK), kami menggesa beliau dan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB supaya mendesak Kerajaan India supaya segera membebaskan semua pemimpin politik dan tahanan politik lain, selain menghormati hak mereka untuk berhimpun secara aman.

“Selain itu, Kerajaan India juga diminta menarik balik sekatan komunikasi dan maklumat serta mengembalikan hak kebebasan bersuara, selain menarik balik pasukan keselamatan dari bandar dan perkampungan di Kashmir,” kata OIC dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dijangka mengadakan perbincangan tertutup hari ini, bagi membincangkan tindakan India menarik balik status khas yang diberikan kepada Jammu dan Kashmir.

Menurut beberapa diplomat, perbincangan itu diadakan atas permintaan China dan Pakistan. - Agensi

Berita Harian X