Isnin, 19 Ogos 2019 | 11:21pm
KAPAL tangki Adrian Darya 1. - Foto Reuters
KAPAL tangki Adrian Darya 1. - Foto Reuters

Kapal tangki Iran menuju Greece selepas dibebas

DUBAI: Sebuah kapal tangki Iran berlayar melalui Laut Mediterranean ke arah Greece, hari ini selepas dibebaskan daripada penahanan di pesisir Gibraltar.

Ketika sama, kerajaan Tehran memberi amaran sebarang tindakan Amerika Syarikat untuk merampas balik kapal itu akan membawa ‘kesan buruk’.

Grace 1 yang dinamakan semula kepada Adrian Darya 1 berlepas dari pelabuhan Gibraltar kira-kira jam 11 pagi. Data menunjukkan kapal itu dalam perjalanan ke Kalamata, Greece dan dijadualkan tiba, Ahad ini.

Kapal berkenaan ditahan oleh tentera laut Britain di Gibraltar pada 4 Julai lalu atas dakwaan ia membawa minyak ke Syria dan melanggar sekatan Kesatuan Eropah (EU). Ia kemudian mencetus ketegangan di antara Tehran dan Barat.

Kelmarin, Gibraltar berkata, ia tidak boleh mematuhi permohonan itu kerana tertakluk kepada undang-undang EU.

Washington mahu menahan kapal tangki itu atas dakwaan ia mempunyai kaitan dengan Angkatan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) yang disenaraikannya sebagai pertubuhan pengganas.

Pihak berkuasa Greece tidak mengulas insiden itu. Semalam, Iran berkata, apa-apa cubaan AS untuk menahan kapal itu akan ‘membawa kesan padah’.

“Iran sudah mengeluarkan amaran menerusi saluran rasmi terutama kepada kedutaan Switzerland supaya AS tidak melakukan kesilapan kerana ia akan membawa kesan buruk,” kata jurucakap kementerian luar Iran, Abbas Mousavi.

Switzerland mewakili kepentingan AS di Iran yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Washington. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X