Rabu, 21 Ogos 2019 | 8:21pm

Pekerja Konsulat Britain sah ditahan kerajaan China

BEIJING : Seorang pekerja konsulat Britain di Hong Kong yang dilaporkan hilang awal bulan ini disahkan ditahan di China, kata Beijing hari ini.

Insiden berkenaan berlalu ketika hubungan antara Britain dan China menjadi tegang susulan apa yang disifatkan Beijing sebagai campur tangan London terhadap demonstrasi pro demokrasi di Hong Kong sejak tiga bulan lalu.

“Individu yang anda maksudkan kini berada dalam tahanan pengurusan selama 15 hari sebagai hukuman oleh polis Shenzhen kerana melanggar peraturan keselamatan awam, kata jurucakap kementerian luar China, Geng Shuang.

Menurut Shuang, pekerja berkenaan adalah dari Hong Kong justeru isu itu adalah hal ehwal dalaman.

“Biar saya jelaskan, pekerja ini ialah rakyat Hong Kong, bukan rakyat United Kingdom jadi bermakna, beliau adalah seorang Cina,” katanya.

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Simon Cheng melakukan perjalanan ke Shenzhen untuk satu mesyuarat perniagaan pada 8 Ogos.

Pada malam sama, Cheng kembali ke Hong Kong menggunakan perkhidmatan kereta api laju dan sempat menghubungi teman wanitanya menggunakan sistem pesanan ketika mahu melalui pemeriksaan kastam.

“Kami terputus hubungan dengan beliau sejak itu,” kata ahli keluarga Cheng dalam satu hantaran di Facebook.

Beijing sebelum ini berulang kali memberi amaran kepada Britain berhubung campur tangan mereka dalam tunjuk perasaan yang tercetus 11 minggu lalu, membabitkan jutaan penduduk.

“UK baru-baru ini memberi banyak kenyataan tidak berasas mengenai Hong Kong.

“Kami sekali lagi menggesa British berhenti mencampuri dan menambah bara dalam isu Hong Kong,” kata Shuang dalam taklimat media hari ini. - AFP

Berita Harian X