Rabu, 28 Ogos 2019 | 11:00am
Air banjir di sungai Muromi di Fukuoka, barat daya Jepun. - Foto EPA

240,000 diarah berpindah susulan banjir, tanah runtuh di Jepun

TOKYO: Pihak berkuasa Jepun hari mengeluarkan arahan pemindahan jarang dilakukan ke atas 240,000 penduduk di barat daya negara itu kerana bimbang berlaku banjir dan tanah runtuh.

Pegawai turut mengesahkan kematian seorang lelaki yang maut dalam hujan lebat.

Arahan pemindahan dibuat selepas Agensi Kaji Cuaca Jepun mengeluarkan amaran paras tertinggi bagi beberapa bahagian di Kyushu.

Amaran dikeluarkan jika ada kemungkinan berlaku malapetaka dan diaktifkan sebaik bencana diisytiharkan, mengarahkan penduduk mengambil langkah melindungi nyawa mereka.

Arahan dan nasihat pemindahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan tetapi bukan mandatori walaupun pegawai menggesa penduduk mematuhinya.


Orang ramai berjalan meredah air banjir berhampiran stesen Saga, wilayah Saga, barat daya Jepun. - Foto EPA

Pengurusan bomba dan bencana berkata, ia sudah menerima pelbagai laporan rumah dinaiki air di Saga dan pegawai berusaha mengesahkan butiran kerosakan.

“Kami menyaksikan hujan lebat yang tidak pernah berlaku sebelum ini di bandar raya yang menyebabkan kami mengeluarkan amaran khas.

“Ia adalah keadaan yang memerlukan anda bertindak terbaik untuk melindungi nyawa,” kata pegawai agensi kaji cuaca, Yasushi Kajiwara.

Beliau juga menggesa mereka yang dinasihatkan berpindah supaya berbuat demikian sebelum amaran ditingkatkan. — AFP

Berita Harian X