Rabu, 28 Ogos 2019 | 7:43pm
Keadaan banjir yang melanda Omachi, Saga. - Foto AFP

Dua maut, 870,000 dipindahkan akibat banjir di Jepun

TOKYO: Dua disahkan terkorban manakala lebih 870,000 lagi penduduk diarah berpindah susulan ancaman hujan lebat dan tanah runtuh yang melanda barat daya Jepun hari ini.

Lebih sejuta lagi penduduk dinasihatkan untuk berpindah selepas agensi kaji cuaca negara itu menaikkan tahap amaran ke paras tertinggi untuk sebahagian daripada wilayah Kyushu utara.

Pihak berkuasa mengesahkan dua kematian, masing-masing satu di barat wilayah Saga dan di Fukuoka. Mangsa pertama ditemui di dalam sebuah kenderaan yang dihanyutkan air, manakala lelaki kedua terperangkap ketika cuba keluar dari kenderaannya yang ditenggelami air.

Jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga berkata seorang lagi penduduk di Saga kini berada dalam keadaan tenat selepas mengalami jantung terhenti.

“Banyak laporan kerosakan diterima di beberapa kawasan berbeza akibat sungai yang melimpah, tanah runtuh serta kediaman yang ditenggelami air dan kami menjangkakan kemusnahan lebih serius dalam masa beberapa jam lagi,” kata Suga.

Walaupun arahan berpindah dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa bukan mandatori, mereka tetap menggesa penduduk untuk terus berwaspada.

Pihak berkuasa Jepun sering menggesa penduduk untuk mematuhi arahan perpindahan dengan serius terutama selepas bencana hujan lebat musim panas lalu yang mengorbankan lebih 200 orang. - AFP

Berita Harian X