Sabtu, 31 Ogos 2019 | 3:22pm
Petugas NRC memeriksa dokumen di pejabar NRC di Guwahati, Assam, India. - Foto EPA
Petugas NRC memeriksa dokumen di pejabar NRC di Guwahati, Assam, India. - Foto EPA

2 juta rakyat India khuatir hilang kerakyatan

GUWAHATI: Hampir dua juta rakyat di timur laut India dikhuatiri bakal kehilangan kerakyatan hari ini selepas negeri Assam mengeluarkan senarai kerakyatan yang menyasar untuk mengusir anasir asing.

Sejumlah 31.1 juta penduduk termasuk dalam senarai Pendaftar Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC), manakala 1.9 juta lagi dianggap tidak layak, menurut satu kenyataan dari kerajaan Assam.

Kebanyakan mereka yang dikecualikan adalah Muslim.

Assam, negara terpencil dan terasing dengan 33 juta penduduk sekian lama menyaksikan kemasukan warga asing sejak di bawah pemerintahan kolonial British dan sekitar perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971 ketika berjuta-juta penduduk melarikan diri ke India.

Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, Assam menjadi medan pertelingkahan antara agama dan ketegangan etnik.

Antara tragedi paling buruk adalah pembunuhan beramai-ramai pada 1983 yang mengorbankan kira-kira 2,000 orang.

Hanya mereka yang mampu membuktikan bahawa mereka atau keturunan nenek moyang mereka sudah berada di India sejak sebelum 1971 lagi, akan dimasukkan ke dalam senarai berkenaan.

Bagaimanapun, ia dianggap satu cabaran kepada penduduk di wilayah itu yang sebahagian besarnya buta huruf dan mungkin berdepan masalah memperoleh dokumentasi yang diperlukan.

Individu yang rayuannya ditolak akan diisytiharkan sebagai warga asing dan bakal dilucutkan kerakyatan serta hak sebagai rakyat India, lalu dihantar ke kem tahanan sementara, selain bakal dihantar pulang. - AFP

Berita Harian X