Ahad, 1 September 2019 | 1:48pm
Sesetengah penunjuk perasaan bimbang pihak berkuasa boleh menggunakan kebergantungan pergerakan itu terhadap Telegram untuk memantau dan menahan penganjur. -Foto Reuters

Aplikasi Telegram lindungi identiti perusuh Hong Kong

WASHINGTON: Aplikasi mesej popular sulit Telegram membolehkan pengguna menyembunyikan nombor telefon mereka untuk melindungi penunjuk perasaan Hong Kong daripada dipantau pihak berkuasa, menurut individu yang mengetahui usaha berkenaan.

Kemas kini Telegram, dirancang untuk dikeluarkan beberapa hari lagi, membolehkan penunjuk perasaan menghalang pihak berkuasa China dan Hong Kong daripada mengetahui identiti mereka dalam ruangan sembang kumpulan itu.

Biro Keselamatan Hong Kong memberitahu Reuters, ‘ia bertindak secara bertanggungjawab untuk menangani masa sukar bagi memulihkan ketenteraman awam’ namun enggan mengulas jika ia cuba mengenal pasti perusuh menggunakan aplikasi Telegram.

Kementerian Luar China, Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) dan Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau tidak menjawab komen itu.

Ribuan penunjuk perasaan Hong Kong mendapat maklumat daripada lebih 100 kumpulan di Telegram, menurut penganjur dan penyokong protes.

Penunjuk perasaan menggunakan aplikasi tersulit seperti Telegram untuk bergerak secara pantas menerusi pelbagai kumpulan sembang, dengan kurang risiko penyusupan polis dalam laporan terperinci diterbitkan Reuters awal bulan ini.

Kumpulan itu digunakan untuk menghantar segala-galanya daripada berita protes akan datang dan tips memadam bekas gas pemedih mata dilepaskan polis sehingga mengenal pasti polis menyamar disyaki serta kod akses ke dalam bangunan di Hong Kong di mana perusuh boleh bersembunyi.

Sesetengah penunjuk perasaan menyuarakan kebimbangan pihak berkuasa boleh menggunakan kebergantungan pergerakan itu terhadap Telegram untuk memantau dan menahan penganjur.

Kumpulan sembang digunakan untuk menganjurkan bantahan awam sering boleh dimasuki sesiapa dan peserta menggunakan nama samaran. -Reuters

Berita Harian X