Ahad, 8 September 2019 | 9:08pm
Durian dari Chanthaburi, di timur Thailand. -Foto Agensi

Thailand beri amaran persaingan durian China

BANGKOK: Petani Thailand digesa memperbaiki kualiti durian mereka bagi memastikan pasaran perkongsian dijamin selepas wilayah Hainan di China berjaya menanam benih durian diimport dari Malaysia.

Pengarah Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP) Thailand di Nanning, China, Wanlada Rattanapanich berkata, pihaknya mengawasi ketika China mencuba beberapa ketika untuk menanam pokok durian.

“Sebuah syarikat di wilayah Hainan membeli 20 benih durian ‘Sanno’ dari Malaysia dan berjaya menanamnya di bandar Sanya di selatan Hainan,” katanya dilaporkan laman web The Nation Thailand.

Sementara itu, Presiden Institut Buahan Tropika Hainan, Feng Xuejie mendedahkan, menanam raja buah itu di China sentiasa menjadi cabaran buat petani tempatan oleh kerana durian memerlukan lebih banyak ruang berbanding buahan biasa dan mengambil masa empat hingga lapan tahun untuk mengeluarkan buah.

“Kami cuba menanam pokok durian selama berdekad, namun hasilnya tidak memuaskan, seperti buah kecil dan rasa tawar.

“Walaupun cubaan terbaharu menanam durian Sanno dari Malaysia boleh dikatakan berjaya, masih ada risiko gagal jika kawasan pertanian tidak mengawal keadaan cuaca seperti mana kami lakukan dalam makmal dan plot ujian,” kata Xuejie.

Wanlada menambah, walaupun Hainan masih belum berupaya mengeluarkan kuantiti atau kualiti durian mencukupi untuk permintaan domestik atau eksport, dengan penyelidikan dan pembangunan, mereka mungkin menjadi pesaing akan datang kepada Thailand.

“Ketika ini lebih 80 peratus durian segar dalam pasaran China diimport dari Thailand. Untuk menjamin perkongsian pasaran, petani Thailand perlu mengekalkan dan memperbaiki kualiti produk kita terutama dari segi saiz dan rasa unik buah,” katanya. -Agensi

Berita Harian X