Rabu, 11 September 2019 | 11:28am
Maharani Emeritus Michiko (kiri) mengucapkan terima kasih kepada doktor sebelum meninggalkan Hospital Universiti Tokyo, di Tokyo, semalam. Foto AFP

Maharani Emeritus Michiko selamat jalani pembedahan kanser

TOKYO: Maharani Emeritus Michiko dilaporkan selamat menjalani pembedahan kanser payudara di Hospital Universiti Tokyo dan sudah dibenarkan keluar, semalam.

Agensi Keluarga Diraja berkata, maharani emeritus berusia 84 tahun itu sedang menjalani proses pemulihan selepas pembedahan yang berlangsung pada Ahad lalu.

Menurut doktor, selera makan maharani emeritus itu juga semakin pulih, selain sudah mampu berjalan.

The Japan Times melaporkan, Michiko menyatakan ucapan terima kasih kepada ketua hospital dan pasukan doktor yang mengendalikan pembedahan itu, sebelum menaiki sebuah kereta untuk kembali ke Istana Imperial.

Dalam pada itu, Michiko dimasukkan ke hospital pada Sabtu lalu, bagi menjalani

pembedahan mastektomi separa bagi mengeluarkan sel kanser dari payudara kirinya.

Pembedahan itu dijalankan oleh kakitangan perubatan dari Pusat Kanser Shizuoka dan Hospital Universiti Tokyo.

Difahamkan, Maharaja Emeritus Akihito, dan anak perempuan pasangan diraja itu, Sayako Kuroda ada mengunjungi Michiko sebelum beliau menjalani pembedahan serta selepas pembedahan pada Isnin lalu. - Agensi

Berita Harian X