Khamis, 12 September 2019 | 6:05pm
MENTERI Luar, Saifuddin Abdullah bersama rakan sejawatnya, Wang Yi pada sidang media di Beijing. - Foto Reuters

China-Malaysia sedia mekanisma dialog isu Laut China Selatan

BEIJING: China dan Malaysia bersetuju menyediakan mekanisma dialog bersama untuk wilayah Laut China Selatan yang dipertikaikan, kata diplomat kanan kerajaan China selepas bertemu dengan Menteri Luar Malaysia hari ini.

Vietnam dan Filipina agak terganggu baru-baru ini apabila China mengerahkan tentera lautnya di laluan strategik terbabit.

Malaysia, Brunei dan Taiwan turut menuntut wilayah yang sama di laut terbabit.

“Malaysia sering memantau kapal Tentera Laut dan Pengawal Pantai China yang memasuki perairan Malaysia. Namun China menghormati Malaysia dan setakat ini tidak pernah melakukan sesuatu yang menyusahkan kami,” kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kepada Reuters bulan lalu.

Dalam sidang media bersama rakan sejawatnya Saifuddin Abdullah, Menteri Luar China, Wang Yi berkata ketegangan di Laut China Selatan semakin berkurangan.

“Kedua-dua belah pihak mencapai persetujuan untuk menyediakan mekanisma rundingan dua hala berhubung isu maritim, satu platform baru untuk tujuan dialog dan kerjasama di antara kedua-dua belah pihak,” katanya.

Abdullah berkata, mekanisma itu akan diterajui oleh Menteri Luar kedua-dua negara. - Reuters

Berita Harian X