Khamis, 12 September 2019 | 6:38pm
KEM pelarian Rohingya di Cox’s Bazar. - Foto Reuters

Bangladesh salahkan Myanmar Rohingya enggan pulang

DHAKA: Perdana Menteri Bangladesh menyalahkan Myanmar atas kegagalan cubaan baharu menghantar pulang pelarian Rohingya, mengatakan jirannya itu kurang berusaha untuk meraih kepercayaan rakyat.

Kenyataan Sheikh Hasina dibuat tiga minggu selepas usaha baharu untuk menghantar pulang etnik minoriti Islam Myanmar itu menemui jalan buntu.

“Kita sudah melihat Myanmar tidak mampu meraih kepercayaan dalam usaha mewujudkan keadaan yang kondusif (di Rakhine) untuk kepulangan mereka secara bermaruah,” kata Hasina di Parlimen, semalam.

Katanya, persiapan penuh sudah dilakukan tetapi penghantaran pulang masih belum bermula, sikap ragu-ragu membuatkan etnik Rohingya tidak yakin mereka dapat memiliki kembali rumah, tanah dan harta benda lain.

Hasina berkata, beliau meminta bantuan daripada beberapa negara Asia termasuk China, India dan Jepun untuk menyelesaikan krisis itu.

Kenyataan beliau menggambarkan kekecewaan Dhaka terhadap resolusi krisis pelarian. Penghantaran pulang terdahulu pada Oktober ditolak pemimpin pelarian.

Kira-kira 740,000 etnik Rohingya melarikan diri dari kampung mereka di Rakhine susulan tindakan kejam tentera Myanmar pada Ogos 2017, menyertai hampir 200,000 pelarian yang sudah tinggal di kem sementara dekat sempadan, di selatan Bangladesh. - AFP

Berita Harian X