Isnin, 16 September 2019 | 4:34pm
LAMPU isyarat tidak berfungsi selepas dilanda taufan. - Foto REUTERS

Taufan Faxai punca 80,000 rumah masih bergelap

TOKYO: Kira-kira 80,000 rumah di timur Jepun masih terputus bekalan elektrik selepas dilanda taufan dengan keadaan hujan lebat memaksa arahan berpindah dan pemulihan dilakukan, kata pihak berkuasa, hari ini.

Jurucakap Tokyo Electric Co. (TEPCO), Naoya Kondo berkata, kira-kira 78,700 rumah di China, masih terputus bekalan elektrik.

“Pemulihan sepenuhnya hanya dapat dilakukan sehingga 27 September kerana kami berdepan kesulitan di kawasan pergunungan,” katanya.

Menurut pihak berkuasa tempatan, kira-kira 16,700 isi rumah turut berdepan masalah bekalan air kerana beberapa loji rawatan air terputus bekalan elektrik.

Sehubungan itu, pihak tentera dikerah untuk membantu pihak berkuasa mengagihkan bantuan air menggunakan trak tangki ke kawasan terjejas.

Agensi cuaca kebangsaan hari ini mengeluarkan amaran baharu hujan lebat bakal melanda Chiba dan pihak berkuasa mengeluarkan arahan berpindah tidak wajib kepada 46,300 penduduk susulan risiko tanah runtuh dijangka melanda.

“Kerja-kerja pemulihan dijangka tertangguh kerana hujang lebat,” kata pegawai pengurus bencana, di Futtsu Chiba, Kenta Hirano, kawasan yang 1,000 rumah rosak teruk disebabkan taufan itu.

Media tempatan melaporkan, kebanyakan penduduk di Chiba menutup bahagian bumbung rumah menggunakan kanvas.

“Kami mengalami kerugian kerana kami tidak dapat tinggal di kawasan itu lagi,” kata penduduk berusia 66 tahun ketika ditemuramah penyiar NHK selepas taufan memusnahkan bumbung rumahnya. - AFP

Berita Harian X