Khamis, 19 September 2019 | 9:46am
BENJAMIN Netanyahu
BENJAMIN Netanyahu

Kedudukan Netanyahu semakin goyah

BAITULMAQDIS: Kedudukan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semakin goyah semalam selepas pilihan raya yang menyaksikan beliau terikat dengan pencabar utamanya, Benny Gantz.

Keadaan itu meningkatkan prospek rundingan membentuk kerajaan campuran atau menamatkan rekod panjang penguasaan kepimpinan beliau.

Dalam petanda rundingan akan diadakan, sumber di pejabat Netanyahu memberitahu, pemimpin itu membatalkan lawatan dirancang minggu hadapan ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York disebabkan ‘konteks politik’ di Israel.

Beliau dijangka bertemu Presiden Donald Trump untuk berbincang mengenai perjanjian pertahanan kedua-dua sekutu.

Namun perdana menteri paling lama berkhidmat di Israel itu bergelut untuk kekal berkuasa.

Dengan lebih 95 peratus undi dikira, parti Likud pimpinan Netanyahu memperoleh 32 kerusi manakala parti Blue and White pimpinan Gantz mendapat 33 kerusi dalam Parlimen Israel yang mempunyai 120 kerusi.

Bagaimanapun, dengan Gantz mendahului dengan cuma satu kerusi, tidak memberikan jalan kepada mana-mana parti untuk membantu campuran majoriti, meningkatkan kemungkinan rundingan ke arah kerajaan pakatan.

“Cuma ada dua pilihan, kerajaan diketuai saya atau kerajaan bahaya yang bergantung kepada parti Arab.

“Pada masa ini, apabila berhadapan perubahan keselamatan dan politik, tidak boleh wujud kerajaan yang bergantung kepada parti Arab anti-Zionis,” kata Netanyahu pada sidang akhbar di Baitulmaqdis semalam.

Laporan media menyatakan, pakatan Senarai Bersama Arab dijangka menjadi blok ketiga terbesar dalam Parlimen dengan 13 kerusi.

“Era Netanyahu sudah berakhir. Jika Gantz memanggil, kami akan memberitahu syarat untuk menyokong beliau,” kata seorang daripada pemimpin pakatan, Ahmed Tibi. — AFP

Berita Harian X