Khamis, 3 Oktober 2019 | 10:21pm
Tentera Bangladesh sudah membentuk pasukan penyiasat bagi meneliti insiden di kem pelarian Rohingya Nayapara Ahad lalu. -Foto Agensi

Tentera Bangladesh dituduh rogol gadis Rohingya

DHAKA: Tentera Bangladesh berkata hari ini, ia mengarahkan satu siasatan selepas sebuah keluarga Rohingya dalam kem pelarian menuduh anggotanya merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Siasatan dilakukan ketika sejuta pelarian Rohingya yang tinggal dalam kem berselerak Bangladesh berdepan peningkatan permusuhan dua tahun selepas lari daripada tindakan keras tentera di Myanmar.

Abang sulung mangsa, Mohammad Osman berkata, tiga anggota tentera memasuki pondok mereka di kem Nayapara Rohingya malam Ahad lalu dan menyerang secara seksual adik perempuannya.

“Adik perempuan saya dirogol ketika seorang daripada askar menutup mulutnya,” katanya kepada AFP merujuk kepada daerah sempadan kem pelarian.

Seorang jurucakap Angkatan Tentera Bangladesh, Leftenan Kolonel Abdullah ibn Zaid berkata, mereka sedang menyiasat dakwaan itu.

“Kami sudah membentuk satu jawatankuasa menyiasat insiden dan mendapatkan fakta sebenar. Jika mereka didapati bersalah, hukuman wajar akan diberi,” katanya.

Pegawai perubatan di hospital Cox’s Bazar, Dr Shaheen Abdur Rahman berkata, kanak-kanak perempuan itu diperiksa namun enggan mengulas hasil pemeriksaan berikutan sekatan mahkamah.

Seorang jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) berkata, mereka juga menyiasat insiden terbabit.

“Kami sedar mengenai laporan itu. Dalam kes sedemikian, individu layak menerima bantuan perubatan, fizikal dan psikologi serta akses kepada proses yang wajar,” kata jurucakap UNHCR, Joseph Tripura.

Ketegangan meningkat sejak beberapa minggu lalu apabila kerajaan Bangladesh yang kecewa memperkenalkan beberapa langkah yang menjadikan kehidupan semakin sukar buat pelarian.

Ia termasuk menyekat internet mudah alih, merampas kad SIM dan telefon bimbit serta memfailkan ratusan kes kerana pelarian memperoleh kad kerakyatan secara haram.

Pakar PBB menyuarakan ‘kebimbangan serius’ terhadap sekatan itu. -AFP

Berita Harian X