Jumaat, 11 Oktober 2019 | 4:26pm
SEBUAH jejambat yang menyeberang lebuh raya dilaporkan runtuh dan menghempap beberapa kenderaan di timur China.

Tiga maut jejambat runtuh di China

BEIJING: Tiga orang maut dan dua cedera selepas sebuah jejambat yang menyeberang lebuh raya dilaporkan runtuh dan menghempap beberapa kenderaan di timur China.

Rakaman video atas talian menunjukkan sebahagian besar jejambat terletak di wilayah Jiangsu bergoyang sebelum runtuh di atas kenderaan sedang bergerak pada malam semalam.

Gambar lain menunjukkan sebuah kereta remuk teruk dan hanya menampakkan bahagian depan dan lampu di bawah blok konkrit kelabu.

Kerajaan bandar menerusi kenyataan di Weibo berkata, siasatan awal menunjukkan runtuhan dipercayai berlaku akibat trak membawa muatan lebih yang melalui jejambat terbabit.

Katanya, tiga kenderaan termasuk sebuah diletakkan di bawahnya remuk teruk manakala tiga orang berada dalam dua buah kereta lain turut terbunuh.

Katanya lagi, semasa kejadian lima kenderaan dilaporkan berada di atas jejambat itu termasuk dua trak.

Insiden kemalangan jalan raya dan pembinaan adalah perkara biasa di China.

Pada Februari 2018, sekurang-kurangnya lapan orang maut di bandar Foshan di wilayah Guangdong selepas kebocoran air di lokasi pembinaan stesen kereta api bawah tanah menyebabkan jalan utama runtuh. -AFP.

Berita Harian X