Ahad, 13 Oktober 2019 | 8:33pm
Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan menyambut kepulangan Hazzaa Al Mansoori (kiri) di Lapangan Terbang Presiden, di Abu Dhabi. Foto AFP
Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan menyambut kepulangan Hazzaa Al Mansoori (kiri) di Lapangan Terbang Presiden, di Abu Dhabi. Foto AFP

Kepulangan angkasawan UAE disambut meriah

ABU DHABI: Angkasawan Arab pertama ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), Hazzaa Al Mansoori, menerima sambutan sebagai hero, setibanya beliau di Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Ketibaannya disambut Putera Mahkota, Sheikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan di lapangan terbang, di sini.

Selain itu, orang ramai, termasuk kanak-kanak turut beratur di sepanjang permaidani merah bagi mengalu-alukan kepulangan Hazzaa dan rakannya, Sultan Al-Neyadi.

Sultan turut menjalani latihan angkasawan dan berperanan sebagai pengganti dalam program berkenaan.

Selain jambangan bunga yang disampaikan oleh kanak-kanak, Hazza turut disambut dengan tarian tradisional Yola, setibanya beliau di lapangan terbang itu.

Walaupun misi Hazzaa ke ISS hanya mengambil masa selama lapan hari, tetapi ia memberi inspirasi dan kebangsaan kepada warga UAE, iaitu pendatang baharu dalam bidang angkasa lepas.

UAE berhasrat untuk menghantar misi penerokaan angkasa lepas tanpa pemandu ke orbit Marikh pada 2021.

Misi ke ISS oleh bekas juruterbang pesawat tentera itu, turut mendapat liputan meluas daripada media di negara Arab.

Hazzaa selamat kembali ke bumi pada 3 Oktober lalu.

Ketika berada di ISS, beliau dirakam memakai pakaian kebangsaan UAE, berkongsi makanan tradisional dengan angkasawan lain dan menjalankan pelbagai kajian saintifik. - AFP

Berita Harian X