Isnin, 14 Oktober 2019 | 1:19pm
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata, kerajaan melabur NZ$17 juta (RM44.9 juta) dalam tempoh empat tahun untuk meningkatkan keupayaan negara itu bagi memburu, menghentikan dan menghapuskan kandungan pengganas dan pelampau dalam talian dengan segera. -Foto Agensi

Kerajaan NZ tambah dana banteras kandungan ekstremis dalam talian

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern hari ini mengumumkan tambahan dana dan sokongan bagi menyasar kandungan ekstremis dalam talian, beberapa bulan selepas pengganas kulit putih menyiarkan pembunuhan dua masjid Christchurch Mac lalu.

Serangan pada 15 Mac lalu yang mengorbankan 51 jemaah disiarkan secara langsung di Facebook dan video itu dikongsi di Twitter, YouTube dan aplikasi Whatsapp serta Instagram.

Ardern berkata, kerajaan melabur NZ$17 juta (RM44.9 juta) dalam tempoh empat tahun untuk meningkatkan keupayaan New Zealand bagi memburu, menghentikan dan menghapuskan kandungan pengganas dan pelampau dalam talian dengan segera.

Katanya, pelaburan itu akan digunakan untuk menggandakan tugas siasatan, forensik, perisikan dan pencegahan dijalankan Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri.

Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, pasukan baharu dianggotai 17 orang akan menumpukan usaha memerangi kandungan sebegitu.

Tambahnya, kuasa jabatan baharu itu termasuk menyiasat dan mendakwa individu yang melakukan kesalahan menerusi kedua-dua pengesanan proaktif serta kerja sama antara rakan antarabangsa dan domestik.

“Dunia dalam talian seharusnya menjadi kuasa untuk kebaikan di mana kita boleh bertukar idea, berkongsi teknologi dan mengekalkan kebebasan awam sambil melindungi rakyat New Zealand daripada kandungan khusus.

“Menentang keganasan pelampau dalam talian adalah bahagian terpenting kami sebagai maklum balas terhadap serangan pengganas 15 Mac lalu,” kata Ardern dalam satu kenyataan.

Syarikat gergasi teknologi Silicon Valley dan pemimpin dunia meluluskan pergerakan digelar Ardern sebagai ‘Chrischurch Call’ yang menyasar mewujudkan etika standard buat syarikat teknologi dan media mengelak memperhebat kandungan keganasan pelampau dalam talian.

Komitmen mereka diuji minggu lalu ketika firma media sosial berusaha memadam rakaman kejadian tembakan di luar rumah ibadat Jerman yang disiarkan langsung dalam platform video Amazon, Twitch. -Reuters

Berita Harian X