Ahad, 20 Oktober 2019 | 9:11pm

Pelarian Rohingya setuju pindah ke pulau Bangladesh

COX’S BAZAR: Ribuan etnik Rohingya yang tinggal di kem pelarian Bangladesh bersetuju berpindah ke sebuah pulau di Teluk Bengal, menurut pihak berkuasa, hari ini, walaupun wujud kebimbangan kawasan itu cenderung banjir.

Dhaka sejak sekian lama mahu memindahkan 100,000 pelarian ke pulau lumpur itu bagi mengurangkan kesesakan di kem sempadan sesak di mana hampir sejuta etnik Rohingya tinggal.

Pesuruhjaya pelarian Bangladesh, Mahbub Alam berkata, pihak berkuasa yang memantau pemindahan akan dihantar ke pulau Bhashan Char, beberapa hari lagi.

“Kira-kira 6,000 hingga 7,000 pelarian sudah menyuarakan kerelaan dipindahkan ke Bhashan Char,” kata Alam sambil menambah jumlah pelarian bersetuju ‘kian meningkat’.

Beliau tidak menyatakan bila pelarian itu akan dipindahkan, namun pegawai kanan tentera laut yang terbabit dalam membina kemudahan di pulau itu berkata, proses pemindahan mungkin bermula menjelang Disember dengan 500 pelarian dihantar, setiap hari.

Banyak kumpulan hak asasi memberi amaran pulau yang baharu muncul dari laut kira-kira dua dekad lalu itu mungkin tidak mampu menahan ribut kuat, ketika musim monsun tahunan.

Sejak separuh dekad lalu, ribut siklon kuat mengorbankan ratusan ribu penduduk di sungai Meghna lokasi pulau itu. - AFP

Berita Harian X