Isnin, 21 Oktober 2019 | 10:15am
Akhbar utama Australia menghitamkan berita muka depannya sebagai protes terhadap kerahsiaan kerajaan dan tindakan keras terhadap kebebasan media. -Foto AFP

Akhbar Australia 'gelapkan' berita muka depan tanda protes

SYDNEY: Akhbar di seluruh Australia menerbitkan muka depan yang digelapkan hari ini sebagai protes kerahsiaan kerajaan dan tindakan keras terhadap kebebasan media, langkah penyatuan jarang berlaku dalam persekitaran media negara itu.

Tajuk muka depan nasional dan serantau akhbar termasuk The Australian, The Sydney Morning Herald dan Australian Financial Review diterbitkan hari ini dengan majoriti berita muka depan dihitamkan.

Iklan juga dilancarkan di seluruh rangkaian televisyen negara, meminta penonton menimbang persoalan: “Apabila kerajaan menyembunyikan kebenaran daripada anda, apa yang mereka cuba tutup?”

Kempen oleh pakatan Right to Know dicetuskan berikutan serbuan polis persekutuan ke atas penyiar nasional ABC dan rumah seorang wartawan News Corp tahun ini berhubung dua berita yang terbukti memalukan buat kerajaan.

Ia berpusat kepada enam tuntutan, termasuk pengecualian kepada wartawan daripada tindakan undang-undang ketat keselamatan yang mencetuskan peruntukan rumit dikatakan pengkritik dengan mudah menjejaskan media daripada menjalankan tugas mereka.

“Budaya kerahsiaan yang diturunkan menerusi peruntukan undang-undang, mengehadkan hak setiap rakyat Australia untuk mengetahui dan melangkaui hasrat asal keselamatan negara.

“Serbuan polis ke atas rumah wartawan News Corp, Annika Smethurst dan ibu pejabat ABC di Sydney adalah serangan langsung ke atas kebebasan media di Australia namun ia hanyalah secebis kisah daripada masalah lebih besar,” kata Ketua Kesatuan Pakatan Hiburan Media dan Seni, Paul Murphy.

Tiga wartawan berdepan tuduhan jenayah mungkin susulan serbuan itu, Smethurst kerana mendedahkan kerajaan menimbang rancangan mengintip rakyat Australia serta dua wartawan ABC kerana mendedahkan jenayah perang oleh tentera khas negara itu di Afghanistan.

Kumpulan media juga menggesa perlindungan lanjut buat pembocor maklumat sektor awam, yang turut berdepan dakwaan kerana membocorkannya kepada media serta pemulihan kebebasan rejim maklumat dan pembaharuan undang-undang fitnah.

Undang-undang fitnah Australia adalah rumit dan antara paling tegas di dunia. Tidak seperti kebanyakan demokrasi liberal, Australia tidak memiliki rang undang-undang hak atau perlindungan dilindungi perlembagaan untuk kebebasan bersuara.

Perdana Menteri Scott Morrison berkata, kerajaannya ‘akan sentiasa percaya dalam kebebasan media’ namun beliau juga menegaskan, wartawan tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Satu siasatan kebebasan media dijangka melaporkan penemuannya kepada Parlimen tahun depan. -AFP

Berita Harian X