Ahad, 3 November 2019 | 4:04pm
Carrie Lam.

Carrie Lam cuba tingkat peluang kerja rakyat Hong Kong

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam akan mengunjungi Beijing minggu ini, bagi membincangkan mengenai cara bagi mempermudahkan penduduk kota raya itu, bekerja dan tinggal di tanah besar China.

Lam dijangka tiba di Beijing pada Selasa, bagi menghadiri mesyuarat bersama kumpulan syarikat terkemuka, mengenai program pembangunan Greater Bay Area di selatan China.

“Kumpulan itu sudah mengadakan pertemuan sebanyak dua kali, bagi membincangkan beberapa pendekatan bagi membantu rakyat Hong Kong, bekerja dan tinggal di Greater Bay Area di tanah besar.

“Ia juga bertujuan mengukuhkan aliran kemasukan penduduk dan barangan,” kata pejabat Lam.

Antara lain, ia berperanan menarik individu berbakat dari Hong Kong menerusi faedah cukai, selain menggalakkan penyertaan generasi muda di Hong Kong dan Macau, yang terbabit dalam bidang inovasi serta keusahawanan.

Terdahulu, Lam mempromosikan Greater Bay Area sebagai cara untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Hong Kong, sekali gus meredakan masalah ketegangan sosial. - Reuters

Berita Harian X