Selasa, 5 November 2019 | 10:51am
Bintang k-pop BTS disiasat polis.
Bintang k-pop BTS disiasat polis.

Anggota kumpulan BTS disiasat sebabkan kemalangan

SEOUL: Seorang anggota kumpulan tersohor K-Pop, BTS disiasat polis selepas mengaku menyebabkan kemalangan selepas kereta yang dipandunya melanggar sebuah teksi, kata pengurusan kumpulan itu.

Ketika kejadian, vokalis utama BTS, Jung Kook sedang memandu di Seoul minggu lalu sebelum melanggar sebuah teksi akibat kesilapan yang dilakukannya, kata pengurus Big Hit Entertainment semalam.

Penyanyi berusia 22 tahun itu segera mengakui kesalahan trafik yang dilakukannya dan kini disiasat polis.

“Kedua-dua mangsa dan Jung Kook tidak mengalami sebarang kecederaan,” kata Big Hit dalam satu kenyataan.

“Beliau memberi kenyataan di jabatan polis terbabit dan mencapai satu persetujuan yang munasabah dengan mangsa,” katanya lagi.

Pengurusan Jung Kook atau nama sebenarnya Jeon Jung-kook turut meminta maaf kepada mangsa dan peminatnya.

Kenyataan itu tidak menjelaskan punca kemalangan namun media tempatan berkata Jung Kook melanggar isyarat lalu lintas.

BTS yang dianggotai 7 jejaka kacak itu, menerajui gelombang muzik pop Korea masa kini dengan tiga album nombor satu di carta Billboard, dalam masa kurang daripada setahun.

Mereka turut dicalonkan dalam Anugerah Grammy 2019, selain mengadakan konsert di New York dan Arab Saudi.

Kumpulan itu mengakhiri siri konsert jelajah dunia minggu lalu membabitkan 10 kota dengan beraksi di hadapan lebih daripada 1 juta peminat. - Reuters

Berita Harian X