Selasa, 5 November 2019 | 2:39pm

Waktu kerja pendek, tingkat jualan di Jepun: Microsoft

TOKYO: Cubaan radikal Microsoft Jepun, memperkenalkan waktu kerja pendek empat hari seminggu terbukti berkesan dalam meningkatkan jualan dan penjimatan.

Idea radikal itu dilaksanakan gergasi IT Amerika Syarikat (AS) Microsoft di Jepun, yang terkenal kuat bekerja dengan menutup perniagaan setiap Jumaat sejak Ogos lalu, sekali gus memberikan 2,300 pekerjanya cuti istimewa.

Ia turut mengehadkan waktu mesyuarat kepada maksimum 30 minit dan menggalakkan perbualan dalam talian sebagai alternatif berbanding komunikasi secara bersemuka.

Penyertaan dalam setiap mesyuarat pula dihadkan kepada hanya lima orang sahaja dan pekerja turut digalakkan menggunakan komunikasi dalam talian berbanding emel, katanya.

Hasil yang diperoleh sangat positif, apabila jualan bagi setiap kakitangan meningkat kepada hampir 40 peratus pada Ogos sejak setahun lalu. Penggunaan elektrik juga dikurangkan kepada suku selain penggunaan kertas yang berjaya dikurangkan sehingga separuh.

Firma itu berkata, cubaan itu menunjukkan pekerja mahukan pelbagai pilihan untuk melaksanakan tugas dan dengan mengamalkan model yang lebih meluas mampu meningkatkan kecekapan.

Microsoft merancang untuk melancarkan program yang sama musim sejuk ini, tetapi tidak akan menawarkan cuti khas. Sebaliknya, pekerja akan digalakkan untuk menggunakan cuti sedia ada, katanya.

Program ini diperkenalkan ketika kerajaan Jepun menyasar kepada amalan gaya kerja yang lebih pelbagai dan fleksibel, sekali gus menggesa perusahaan untuk menerima telekomunikasi, jadual kerja sambilan yang berbeza dan berulang-alik di luar waktu puncak.

Usaha ini adalah sebahagian daripada percubaan untuk menangani isu ‘karoshi’ atau kematian akibat terlalu kuat bekerja dan menggalakkan pasangan untuk mempunyai anak di negara yang bergelut dengan populasi yang semakin mengecil. - AFP

Berita Harian X