Khamis, 7 November 2019 | 11:44pm
Casey Dean menunjukkan burger Quarter Pounder McDonald’s yang dibelinya sejak 1995 dan disimpan dalam bangsal namun tidak mereput. -Foto AFP

Burger McDonald's disimpan hampir 25 tahun

SYDNEY: Sebiji burger McDonald’s yang didakwa dibeli pada 1995 dan disimpan dalam bangsal selama bertahun namun ia tidak hancur, menurut dua lelaki yang kini menggelar hidangan Quarter Pounder berusia hampir 25 tahun itu sebagai ‘mate’ atau rakan mereka.

Casey Dean, 39, dan Eduards Nits, 38, mendakwa, mereka memesan burger Quarter Pounder bersama keju dari sebuah cawangan McDonald’s di Adelaide ketika masih remaja dan menyimpannya sejak itu.

Mereka mendakwa sudah banyak kali mendedahkan perkara itu di Australia selama beberapa tahun namun menjadi tajuk muka depan sekali lagi beberapa hari selepas penstriman langsung burger keju McDonald’s berusia sedekad dipaparkan dalam bekas kaca di Iceland menjadi tular.

Rangkaian makanan segera Amerika Syarikat (AS) itu menutup tiga cawangannya di Iceland ketika krisis kewangan di pulau itu pada 2009 dan sebelum penutupannya, Hjortur Smarason membeli hidangan burger untuk disimpan.

Beliau kali pertama menyimpan hidangan itu dalam garaj namun kemudian menyewakannya kepada Muzium Nasional Iceland yang kemudian berpindah ke sebuah hotel di ibu kota Reykjavik untuk seketika.

Kini burger itu dipaparkan seperti hasil seni dalam bekas kaca dalam sebuah hostel di selatan Iceland.

Dean, yang menyimpan hidangan tertua McDonald’s di Australia berkata, beliau faham mengapa sesetengah orang ragu-ragu mengenai dakwaan mereka, namun mempertahankan pakej bungkusan, kertas lilin dan lingkaran kadbod secara tepat menunjukkan tarikh pengeluaran burger pada 1990-an.


Bungkusan burger McDonald’s didakwa pada 1990-an di Australia. -Foto AFP

“Ketika remaja kami memesan banyak makanan dan ia terlalu banyak. Ia bermula apabila kami berlawak, ‘bayangkan jika kita menyimpannya selama-lamanya dan kini terbukti,” kata Dean.

Walaupun burger itu mengecil sedikit daripada saiz asal, bentuknya masih utuh, tiada tanda berkulat dan tidak berbau.

Kotak di mana burger itu disimpan bercampur dengan pakaian dalam bangsal di Adelaide di mana suhu kerap melepasi 30 darjah Celsius pada musim panas.

“Tikus sebenarnya makan menerusi beg plastik, pakaian, masuk ke dalam kotak dan mereka meninggalkan burger itu,” katanya.

Seorang saintis Australia dan pakar diet terkenal, Tim Crowe berkata, kandungan tinggi garam menjadikan burger McDonald’s terutamanya tahan daripada mereput.

“Tiada apa yang berbahaya mengenai kandungan makanan McDonald’s dalam hal ini. Ia dengan mudahnya disebabkan kelembapan rendah dan kandungan tinggi garam dalam makanan,” katanya. -AFP

Berita Harian X