Jumaat, 8 November 2019 | 11:03am

Polis buru dua guru rogol remaja cacat penglihatan

GUJARAT (INDIA): Dua guru dituduh memperkosa seorang remaja perempuan yang cacat penglihatan selama dua bulan di sebuah sekolah khusus untuk pelajar kelainan upaya.

Chaman Thakor, 62 dan Jayanti Thakor, 30 dipercayai merogol pelajar berusia 15 tahun itu di bilik muzik sekolah berkenaan.

Kes itu hanya diketahui selepas keluarga mangsa curiga dengan tingkah lakunya yang enggan pulang ke sekolah berasrama terbabit di Ambaji, Gujarat sebaik cuti perayaan Deepavali berakhir.

Apabila disoal, mangsa terus menangis dan menceritakan kejadian berkenaan kepada ibu saudaranya yang kemudian menghubungi pihak polis.

Menurut mangsa, kejadian rogol kali pertama dilakukan Chaman di dalam bilik muzik, kira-kira dua bulan lalu.

Seorang lagi suspek, Jayanthi pula memperkosa mangsa di lokasi sama tiga hari selepas itu dan sehari sebelum perayaan Deepavali.

Menurut laporan, remaja malang berkenaan dimasukkan ke sekolah terbabit untuk mendalami bidang muzik setelah lulus gred 8 di kampungnya.

Selain muzik, sekolah itu turut menawarkan latihan vokasional untuk pelajar kelainan upaya.

Inspektor JB Agrawat dalam kenyataan kepada media berkata, kedua-dua suspek sudah melarikan diri sebaik perbuatan keji mereka diketahui.

“Gerakan memburu mereka sedang giat dilakukan,” katanya sambil menambah, kedua guru terbabit juga sudah dipecat oleh pengurusan sekolah selepas perbuatan jenayah itu tersebar.

Menurut perangkaan rasmi, India mencatatkan hampir 40,000 kes rogol setiap tahun. - Agensi

Berita Harian X