Rabu, 13 November 2019 | 4:54pm
7 orang terbunuh dan 10 cedera termasuk empat warga asing selepas sebuah van mini mengandungi bom meletup. - Foto AFP

7 maut, van meletup di Kabul

KABUL: Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan 10 cedera termasuk empat warga asing selepas sebuah van mini mengandungi bom meletup ketika waktu puncak, pagi hari ini.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nasrat Rahimi berkata, bom itu dipercayai disasarkan ke atas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik syarikat keselamatan swasta Kanada, GardaWorld.

“Akibatnya tujuh orang terbunuh dan 10 orang cedera termasuk empat warga asing daripada syarikat keselamatan itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan kewarganegaraan warga asing yang cedera semasa letupan terbabit.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Massoud Andarabi berkata, antara mangsa terbunuh ialah seorang remaja berusia 13 tahun yang dalam perjalanan ke sekolah.

Setakat ini, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu. Tetapi, pemberontak Taliban dan kumpulan Daesh masih aktif di bandar terbabit. - AFP

Berita Harian X