Rabu, 13 November 2019 | 8:28pm
Penduduk Palestin sedang solat jenazah penduduk yang terbunuh akibat serangan tentera Zionis di Gaza. - Foto AFP

Keganasan berterusan Zionis, 22 penduduk Palestin maut

GAZA: Serangan balas, selepas tindakan Israel membunuh militan kanan di Gaza berterusan pada hari kedua, hari ini dan tidak menunjukkan tanda reda dengan 22 penduduk Palestin menjadi korban.

Situasi menyedihkan dilaporkan di kawasan dikepung Zionis itu dengan ramai penduduk Palestin meninjau kerosakan dan meratapi kematian keluarga tersayang di lokasi pengebumian.

Lebih malang, walaupun wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka tiba di Kaherah untuk rundingan gencatan, seorang sumber berkata, kemungkinan konflik meruncing tinggi.

Dalam kenyataan pagi tadi, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi serangan lama akan dilakukan dengan berkata, Jihad Islam perlu menghentikan serangan roket atau menyerap lebih banyak serangan tanpa ‘belas kasihan’.

Jurucakap Jihad Islam, Musab al-Barayem pula berkata, kumpulan itu tidak berminat dengan mediasi, buat masa ini, ketika ia bertindak balas dengan pembunuhan komandernya.

Israel membunuh komander kanan Jihad Islam, Baha Abu al-Ata dan isterinya, Amsa dalam serangan, awal semalam, yang mencetuskan serangan roket dan serangan udara balas Zionis.

Setakat ini, sejumlah 22 penduduk Palestin maut termasuk Ata dan isteri beliau, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas. Jihad Islam mengesahkan mangsa maut termasuk beberapa ahli sayap bersenjatanya.

Namun, tiada kematian di pihak Israel, namun serangan roket menyebabkan kerosakan dan satu roket hampir terkena banyak kereta di lebuh raya sibuk. Pasukan perubatan Israel berkata, mereka merawat 48 orang dengan luka ringan sahaja. - AFP

Berita Harian X