Rabu, 13 November 2019 | 11:08pm
Ashraf Ghani (kiri) dan pesaingnya, Abdullah Abdullah.

Keputusan pilihan raya presiden Afghanistan ditangguhkan lagi

KABUL: Keputusan awal pilihan raya presiden Afghanistan ditangguhkan untuk kali kedua, menurut pengumuman pegawai pilihan raya, hari ini.

Perkembangan itu dijangka memburukkan lagi ketidaktentuan politik serta tuduhan penipuan pilihan raya negara itu.

Pemilihan 28 September lalu sudah terjejas dengan jumlah keluar mengundi rendah dan pertelingkahan antara pemangku jawatan presiden, Ashraf Ghani dan pesaingnya, Abdullah Abdullah.

Sepatutnya keputusan awal diumumkan pada 19 Oktober, namun ia ditangguhkan kepada 14 November dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (IEC) memetik beberapa masalah teknikal. Kini, tarikh itu dilanjutkan sekali lagi.

“Malangnya disebabkan masalah teknikal dan beberapa isu lain, kami tidak boleh mengumumkan keputusan pilihan raya esok,” kata jurucakap IEC, Abdul Aziz Ibrahimi tanpa memberikan tarikh baharu. - AFP

Berita Harian X