Khamis, 14 November 2019 | 7:50am
Bedilan roket dari Gaza ke arah Israel malam tadi. - Foto AFP

Zionis terus mengganas, korban meningkat 26

GAZA: Kumpulan pejuang Palestin, Jihad Islam, menawarkan syarat perjanjian gencatan senjata dengan Israel yang dianjurkan Mesir, berkata jika ia tidak dipenuhi, pergerakan itu sedia membedil roket melepasi sempadan walaupun jumlah korban semakin meningkat di Gaza.

Dalam kenyataan umum pertama mengenai pertempuran itu, pemimpinnya, Zeyad al-Nakhala, berkata perjanjian gencatan senjata itu akan dipersetujui serta-merta jika Israel menerima syarat pergerakan itu.

Syarat itu termasuk Israel berhenti mensasarkan membunuh pejuang, tindak balas membawa maut kepada bantahan setiap minggu di Gaza dan langkah mengendurkan kepungan di wilayah itu, kata al-Nakhala, yang berada di Beirut, kepada Al-Mayadeen TV.

Al-Nakhala berkata, beliau berharap mendapat jawapan Israel menerusi Kaherah dalam masa beberapa jam.

“Jika syarat perjanjian tidak dipersetujui, sayap bersenjata Jihad Islam, Briged Baitulmaqdis, mampu berperang dan untuk jangka panjang,” katanya.

Gelombang terburuk dalam pertempuran di Gaza berlaku kelmarin apabila tentera Israel membunuh komander lapangan Jihad Islam dalam serangan udara.

Rejim Zionis menuduh beliau mendalangi serangan baru-baru ini dan merancang melakukan banyak lagi operasi.

Apabila pejuang Jihad Islam bertindak balas dengan melancarkan ratusan roket yang boleh sampai ke Tel Aviv dan melumpuhkan separuh Israel, ia meningkatkan serangan udara di Semenanjung Gaza.

Pasukan perubatan berkata, 26 penduduk Palestin termasuk sekurang-kurangnya 14 pejuang dan enam penduduk awam terkorban. Puluhan lagi cedera di kedua-dua pihak. —Reuters

Berita Harian X