Khamis, 14 November 2019 | 11:39am
Keadaan kebakaran hutan di Gunung Gospers, di New South Wales, Australia. - Foto EPA

Kebakaran di Australia ragut nyawa keempat

SYDNEY: Mayat seorang lelaki ditemui dalam kawasan hutan yang terbakar di negeri New South Wales (NSW), menjadikan angka kematian dalam kebakaran yang melanda seluruh pantai timur Australia meningkat kepada empat, kata polis hari ini.

Kebakaran memusnahkan tanah ladang dan hutan seluas sejuta hektar sejak minggu lalu, didorong dengan keadaan kering selepas tiga tahun kemarau yang disifatkan pakar diburukkan oleh perubahan iklim.

Tidak dapat dipastikan punca kematian lelaki berkenaan tetapi mayatnya ditemui berhampiran bandar Kempsey oleh penduduk tempatan sejurus sebelum tengah malam kelmarin.

“Lelaki itu masih belum dikenal pasti secara rasmi, bagaimanapun, dipercayai itu adalah mayat lelaki berusia 58 tahun yang tinggal berhampiran,” kata Polis NSW dalam kenyataan diemelkan.

Kempsey terletak 400 kilometer ke utara Sydney, dan berhadapan keadaan melampau sejak beberapa minggu lalu.

Kira-kira 300 rumah musnah di NSW saja beberapa hari lalu apabila api merebak dari pantai utara negeri itu ke Sydney.

Kebakaran hutan kerap berlaku pada musim panas dan kering di Australia, tetapi tahap serius dan permulaan awal kebakaran pada musim bunga tahun ini mengejutkan banyak pihak.

Ketika keadaan di seluruh timur Australia semakin reda, suhu di seluruh barat negara itu dijangka meningkat hari ini.

Pihak berkuasa berkata, mereka memantau kebakaran di Karratha, hab memproses gas besar di pantai barat Australia.

Suhu diramal mencecah 43 darjah Celsius hari ini berhampiran Port Hedland, hab eksport bijih besi terbesar dunia.

Kebakaran mencetuskan perbahasan semakin memuncak mengenai dasar iklim dan pencegahan kebakaran, dengan parti pemerintah Parti Liberal dan pembangkang, Australia Greens saling bertikam lidah. — Reuters

Berita Harian X