Selasa, 19 November 2019 | 9:19am
ASAP tebal menyelubungi Sydney susulan kebakaran hutan yang berlaku di seluruh pantai timur Australia. - Foto Reuters

Kebakaran makin marak, Sydney diselubungi asap bahaya

SYDNEY: Angin kencang menyebabkan puluhan kebakaran berlaku di seluruh pantai timur Australia hari ini, menyelubungi ibu kota ini dengan asap berbahaya, menjurus amaran kesihatan dikeluarkan untuk bandaraya paling padat itu.

Kebakaran hutan memusnahkan kawasan ladang dan belukar seluas sejuta hektar sejak beberapa minggu lalu, dimarakkan dengan keadaan kering selepas tiga tahun kemarau yang disifatkan pakar diburukkan oleh perubahan iklim.

Angin kencang menyebabkan kira-kira 60 kebakaran masih berlaku di seluruh New South Wales (NSW) dan pegawai berkata, asap yang menyelubungi ibu kota ini adalah 10 kali melebihi paras bahaya di beberapa bahagian di bandaraya itu.

Perkhidmatan Bomba Pedalaman NSW (RFS) berkata, pencemaran asap itu akan berlanjutan sepanjang hari ini apabila angin kencang memburukkan ancaman kebakaran di pantai timur Australia.

ASAP tebal menyelubungi Sydney susulan kebakaran hutan yang berlaku di seluruh pantai timur Australia. - Foto Reuters

Jabatan kesihatan negeri berkata, penduduk perlu berada dalam rumah selama mungkin.

“Bagi kebanyakan orang, asap menyebabkan gejala sederhana seperti sakit mata, hidung dan tekak.

“Bagaimanapun, pesakit yang menghidap asma, emfisema dan angina berkemungkinan lebih terjejas kerana kesan itu,” kata Pengarah Kesihatan Alam Sekitar, Dr Richard Broom.

Kebakaran hutan di Australia adalah biasa dan membawa ancaman maut tetapi penularan awal bencana itu tahun ini sudah pun meragut empat nyawa dan memusnahkan lebih 300 rumah sejak minggu lalu.

Bomba berusaha keras mengukuhkan kepungan, dengan suhu di seluruh pantai timur dijangka meningkat minggu ini. — Reuters

Berita Harian X