Selasa, 19 November 2019 | 7:25pm

15 maut akibat campak di Samoa

WELLINGTON: Angka korban akibat wabak campak yang semakin menular di Samoa kini meningkat kepada 15 orang dengan kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), hari ini.

Agensi PBB itu berkata, suspek kes campak mencecah 1,000 di negara di kepulauan Pasifik itu, yang kini diisytiharkan darurat dan melancarkan program vaksin wajib.

“Wabak itu meragut nyawa 14 kanak-kanak berusia di bawah lima tahun dan seorang dewasa,” katanya dalam satu kenyataan.

UNICEF berkata, pihaknya sedang dalam proses menghantar lebih 110,000 dos vaksin campak kepada penduduk Samoa yang kini mencecah 200,000 orang. Vaksin itu turut dihantar ke Tonga dan Fiji.

Pihak berkuasa juga sedang bersiap sedia berdepan wabak itu di Vanuatu, Kepulauan Solomon, Kiribati, Pulau Cook, Pulau Marshall dan Micronesia.

Katanya, Samoa yang paling teruk terjejas, mencatatkan kadar vaksinasi paling rendah iaitu 28 hingga 40 peratus.

Kanak-kanak paling terdedah dengan bahaya campak yang lazimnya mengakibatkan ruam dan demam serta boleh menyebabkan kecederaan otak dan kematian. - AFP

Berita Harian X