Rabu, 20 November 2019 | 7:43am
Seorang lelaki menghisap vape di Vape Shop, Monterrey, Mexico. -Foto Reuters

Filipina larang e-rokok, tangkap pengguna

MANILA: Filipina akan mengharamkan penggunaan dan import rokok elektronik (e-rokok) serta menahan sesiapa yang menggunakannya, kata Presiden Rodrigo Duterte semalam, menyertai sejumlah meningkat negara yang bertindak melarang peranti dikaitkan dengan kematian dan ketagihan itu.

Duterte mengumumkan arahan itu dalam sidang media lewat malam selepas ditanya berhubung laporan Jabatan Kesihatan yang mengesahkan kes pertama kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan vape di negara itu.

“Saya akan melarangnya. Penggunaan dan pengimportan. Anda tahu kenapa? Kerana ia toksik dan kerajaan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan langkah melindungi kesihatan dan kepentingan awam,” kata Duterte yang turut mengenakan larangan merokok di khalayak ramai.

Beliau juga mengarahkan penguat kuasa undang-undang untuk menahan sesiapa yang dilihat menggunakan vape di tempat awam.

Duterte, 74, satu ketika dulu seorang perokok tegar namun berhenti apabila didiagnosis mengalami penyakit Buerger, boleh menyebabkan penyumbatan salur darah.

Larangan itu mungkin mengekang rancangan peluasan oleh syarikat pembuat e-rokok Amerika Syarikat (AS), Juul Labs, yang melancarkan produknya di pasaran antarabangsa termasuk Filipina, di tengah tindakan keras meluas penggunaan vape di negara itu.


Katrij vape jenama Juul di kedainya di Atlanta, Georgia, AS. -Foto Reuters

Industri vape dunia, yang menyaksikan peningkatan pantas, berdepan kecaman awam berhubung kebimbangan peningkatan penggunaan dalam kalangan golongan muda.

India, penduduk dewasa kedua terbesar perokok di dunia, melarang jualan e-rokok pada September lalu ketika ia memberi amaran ‘epidemik’ vape di kalangan golongan muda. -Reuters

Berita Harian X