Khamis, 21 November 2019 | 2:58pm
Seorang penunjuk perasaan Palestin mengibarkan bendera Palestin ketika bantahan menentang penempatan Israel di perkampungan Tebing Barat di Shiyoukh, berhampiran Hebron. -Foto EPA

EU patut iktiraf Palestin - Luxembourg

BERLIN: Kesatuan Eropah (EU) sepatutnya mengiktiraf sebuah negara Palestin selepas Amerika Syarikat (AS) menzahirkan sokongan terhadap penempatan Israel di jajahan Tebing Barat, kata Menteri Luar Luxembourg, Jean Asselborn semalam.

Pengumuman Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo Isnin lalu yang mengiktiraf penempatan dijajah Israel, mengubah pendirian diambil di bawah pentadbiran Presiden Jimmy Carter pada 1978.

Palestin berkata, penempatan itu membahayakan matlamat penubuhan sebuah negara di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya dan tindakan AS akan menjadikan perjanjian damai Israel-Palestin semakin sukar.

“Mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara bukan menyebelahi atau memberi kuasa penuh namun pengiktirafan terhadap hak penduduk Palestin mempunyai sebuah negara sendiri.

“Ia bukan bemaksud menentang Israel,” kata Asselborn namun memberi laluan kepada penyelesaian dua negara.

Menteri Luar Luxembourg, Jean Asselborn

Keputusan pentadbiran Trump adalah satu kejayaan buat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang bergelut untuk kekal berkuasa selepas dua pilihan raya tanpa keputusan tahun ini, namun dianggap kekalahan buat Palestin.

Ia mungkin memberi tamparan baharu terhadap usaha Trump menyelesaikan konflik Palestin-Israel menerusi pelan damai yang diusahakan selama lebih dua tahun.

EU berkata, selepas pengumuman AS, ia masih percaya pembinaan penempatan Israel di wilayah diduduki Palestin tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa.

Parlimen Eropah menerima satu resolusi pada 2014 menyokong pembentukan sebuah negara Palestin secara prinsip. Usul itu dicapai selepas pembuat dasar menggesa 28 negara anggotanya mengiktiraf Palestin tanpa syarat.

Lebih 135 negara sudah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara termasuk beberapa di timur Eropah sebelum mereka menyertai EU. -Reuters

Berita Harian X