Ahad, 24 November 2019 | 6:03pm
PENGUNDI beratur di pusat pengundian di Hong Kong. - Foto Reuters

Jumlah rekod keluar mengundi tanda kemarahan penduduk Hong Kong

HONG KONG: Jumlah rekod penduduk Hong Kong mengundi dalam pilihan raya daerah, hari ini, dianggap sebagai kayu ukur sokongan terhadap pemimpin bandar itu, Carrie Lam, selepas tunjuk perasaan pro demokrasi ganas selama enam bulan.

Sejak beberapa minggu lalu, serangan ganas terhadap beberapa calon menjadikan bandar yang diperintah China itu perhatian dunia, ketika Lam berdepan kesukaran menangani kemarahan penduduk yang mahukan hak memilih pemimpin.

Data kerajaan menunjukkan lebih 1.9 penduduk sudah mengundi, menjelang jam 3.30 petang waktu tempatan atau 47 peratus dengan berbaki tujuh jam, sebelum pusat membuang undi ditutup.

Jumlah itu mengatasi 1.47 juta penduduk yang mengundi dalam pilihan raya daerah, sebelum ini empat tahun lalu.

Difahamkan, tidak ramai jumlah polis melakukan kawalan dan keputusan awal patut mula dilaporkan, sebelum tengah malam.

Pekerja produksi acara, Ming Lee, 26, berharap jumlah keluar mengundi tinggi baik untuk kem pro demokrasi yang bertanding beberapa kerusi tidak pernah dicabar yang didominasi calon pro Beijing.

“Saya berharap undian ini boleh mengatasi suara pro kerajaan, justeru meningkatkan suara daripada demokrat. Masalah sosial menggalakkan penduduk mengundi dan menumpukan isu politik,” katanya.

Pekerja industri perkhidmatan, Tsz, 30, berkata jumlah rekod menunjukkan kesungguhan penduduk.

“Jumlah keluar mengundi tinggi pastinya mencerminkan harapan penduduk Hong Kong untuk hak mengundi yang benar,” katanya. - Reuters

Berita Harian X