Isnin, 25 November 2019 | 9:24am
Rangkaian Nine mendedahkan dakwaan mengejutkan bahawa China cuba memasang pengintip dalam Parlimen Australia. -Foto AFP

Australia siasat 'komplot China' pasang pengintip Parlimen

SYDNEY: Australia sedang menyiasat dakwaan komplot China untuk menyusup ke dalam Parlimen persekutuannya dengan menukar seorang ahli perniagaan Cina-Australia sebagai pengintip politik, kata agensi pengintipan balas negara itu.

Program rangkaian Nine, ‘60 Minutes’, menyiarkan dakwaan mengejutkan malam semalam yang mengesyaki ejen China menawarkan Bo ‘Nick’ Zhao Aus$1 juta (RM2.84 juta) untuk bertanding sebagai calon kerusi persekutuan di Melbourne.

Ejen China menawarkan Bo ‘Nick’ Zhao Aus$1 juta (RM2.84 juta) untuk bertanding sebagai calon kerusi persekutuan di Melbourne. -Foto Agensi

Pengedar kenderaan mewah berusia 32 tahun itu dilaporkan mendedahkan dakwaan mendekati dirinya untuk mengintip Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (ASIO) tahun lalu, sebelum beliau ditemui mati dalam sebuah bilik motel Mac lalu.

Dalam satu kenyataan umum jarang dibuat lewat malam semalam, ketua ASIO, Mike Burgess berkata, agensi itu ‘sebelum ini menyedari perkara terbabit’ dan ‘secara aktif menyiasatnya.’

Burgess berkata, beliau enggan mengulas lanjut oleh kerana kematian Zhao bergantung kepada inkues.

“Aktiviti perisikan musuh asing terus memberi ancaman sebenar kepada negara dan keselamatannya,” katanya. Polis gagal menentukan bagaimana Zhao mati.

Ketua Jawatankuasa Perisikan Parlimen, Andrew Hastie menyifatkan dakwaan rancangan di Melbourne itu sebagai ‘nyata’ dan ‘sesuatu yang ditulis novel perisik.’

“Ia bukan setakat wang tunai dalam beg, diberi sebagai pertolongan, ini adalah cubaan sebuah negara menaja untuk menyusup ke dalam Parlimen menggunakan seorang rakyat Australia dan secara asasnya menggunakan mereka sebagai ejen pengaruh asing dalam sistem demokratik kita.

“Justeru, ini adalah perkara yang perlu dibimbangkan rakyat Australia,” katanya kepada 60 Minutes.

Dakwaan itu dibuat beberapa hari selepas seorang perisik China dilaporkan memberi ASIO identiti pegawai perisikan tentera kanan negara itu di Hong Kong dan menyediakan butiran bagaimana mereka dibiayai dan menjalankan operasi di bandaraya itu, Taiwan dan Australia.

China menolak tuduhan pembelot Wang ‘William’ Liqiang sebagai seorang penipu dan pelarian menganggur, namun ada gesaan meningkat di Australia supaya memberinya suaka politik.

Pendedahan itu kemungkinan meningkatkan ketegangan lanjut antara Beijing dan Canberra.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison berkata, pihaknya mendapati, dakwaan China cuba mengupah pembuat dasar dalam Parlimen amat mengganggu. -AFP

China menolak tuduhan pembelot Wang ‘William’ Liqiang sebagai seorang penipu dan pelarian menganggur, namun ada gesaan meningkat di Australia supaya memberinya suaka politik. -Foto Agensi

Berita Harian X