Selasa, 26 November 2019 | 2:57pm
FOTO hiasan.

Jumlah kematian wabak campak di Samoa terus meningkat

WELLINGTON : Jumlah kematian akibat wabak campak di Samoa meningkat kepada 32 hari ini, susulan jangkitan yang semakin tidak terkawal di negara kepulauan Pasifik itu.

Menurut perangkaan rasmi kerajaan, 28 daripada kematian itu membabitkan kanak-kanak berusia 4 tahun dan ke bawah manakala jumlah keseluruhan jangkitan adalah 2,437 kes.

Samoa sebelum ini membuat pengisytiharan darurat malah perkhidmatan perubatan masih bergelut untuk menangani penyebaran wabak, dan ia diburukkan lagi oleh kadar pengambilan vaksin yang rendah.

Jumlah kes turut meningkat lima kali ganda sepanjang minggu lalu manakala kadar kematian pula tiga kali lebih banyak, meskipun kerajaan berusaha melancarkan kempen mewajibkan vaksin.

Sejumlah 57,000 penduduk di negara dengan populasi 200,000 orang itu sudah divaksin sejak beberapa minggu lalu namun Perdana Menteri Tuilaepa Malielegaoi berkata, semua rakyat wajib mengambil suntikan berkenaan.

“Kita sudah berusaha sejauh ini namun masih banyak perlu dilakukan.

“Kita tidak boleh berehat sehingga semua penduduk sudah mengambil suntikan berkenaan,” katanya, lewat malam tadi.

Kanak-kanak adalah golongan paling berisiko untuk dijangkiti campak yang bukan sahaja mendatangkan kegatalan dan demam, tetapi turut menyebabkan kerosakan otak serta kematian.

Sekolah dan tadika terpaksa ditutup buat masa ini dan kanak-kanak turut dilarang berada di khalayak ramai seperti upacara di gereja bagi mengurangkan risiko jangkitan. - AFP

Berita Harian X