Selasa, 3 Disember 2019 | 10:47pm
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam pada satu sidang media di Hong Kong. Foto AFP

Undang-undang AS bakal jejas keyakinan peniaga: Carrie Lam

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, berkata sokongan yang diberikan oleh badan perundangan Amerika Syarikat (AS) terhadap penunjuk perasaan, boleh menjejaskan keyakinan golongan peniaga terhadap hab kewangan itu.

Lam berkata demikian ketika mengumumkan pelan bantuan pusingan keempat bagi menjana ekonomi bandar raya itu, yang terjejas teruk susulan demonstrasi selama berbulan-bulan.

Protes prodemokrasi yang berlarutan selama hampir enam bulan memberi kesan kepada ekonomi Hong Kong, dan ia berdepan dengan kemelesetan pertama dalam tempoh satu dekad.

Menurut Lam, tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani Akta Demokrasi dan Hak Asasi Manusia Hong Kong pada minggu lalu, adalah satu langkah yang tidak perlu.

Akta itu mengkehendaki Jabatan Negara mengesahkan sekurang-kurangnya setahun sekali, bahawa Hong Kong berjaya mengekalkan autonomi mencukupi bagi menjadi pilihan terma perdagangan Amerika Syarikat.

Ia juga memastikan tiada sekatan perlu diambil susulan terdapat pelanggaran terhadap hak asasi manusia.

“Buat masa ini, kesannya adalah terhadap keyakinan (peniaga).

“Syarikat akan berasa bimbang mengenai tindakan yang bakal diambil oleh Kerajaan Amerika Syarikat berikutan pelaksanaan undang-undang itu,” kata Lam.

Dalam pada itu, stesen penyiaran Hong Kong, Cable TV yang memetik sumber melaporkan, Lam bakal mengunjungi Beijing pada 16 Disember ini dan bertemu Presiden China, Xi Jinping. - Reuters

Berita Harian X