Jumaat, 6 Disember 2019 | 2:40pm
SUKARELAWAN memindahkan haiwan di taman hidupan liar di utara Sydney. - Foto AFP
SUKARELAWAN memindahkan haiwan di taman hidupan liar di utara Sydney. - Foto AFP

Kebakaran hutan paksa 600 haiwan liar dipindahkan

SYDNEY : Tiga ratus haiwan terpaksa dipindahkan daripada taman hidupan liar di utara Sydney, susulan kebakaran hutan yang melanda kawasan itu.

Taman Hidupan Liar Walkabout berkata, mereka terpaksa memindahkan cicak, dingo, merak dan haiwan jenis marsupial, sementara menanti anggota bomba mengawal lebih 100 kebakaran.

“Kebakaran ini menjadikan suasana begitu kelam kabut dan kami perlu bersedia,” kata pengurus besar Walkabout, Tassin Barnard.

Musim kemarau berpanjangan menyebabkan timur Australia menjadi kering kontang, sekali gus mencetuskan kebakaran sejak tiga bulan lalu.

Ketua Jabatan Bomba New South Wales, Shane Fitzsimmons berkata, beberapa pasukan bomba dari Amerika Syarikat (AS) dan Kanada turut datang membantu bagi mengurangkan beban terpaksa ditanggung rakan mereka dari Australia.

“Kehadiran pasukan amat bermanfaat dalam membantu pihak kami yang hampir kehabisan tenaga dan dari aspek penggiliran tenaga kerja.

Kami bukan sekadar berterima kasih atas kehadiran mereka, namun juga pengorbanan yang diberikan,” katanya.

Fitzsimmons berkata, pasukan bomba AS dan Kanada itu mengorbankan masa dan berjauhan daripada keluarga sedangkan cuti perayaan Krismas dan Tahun Baru bakal menjelang.

“Mereka memilih untuk bersama membantu kami berbanding bercuti bersama keluarga dan orang tersayang,” katanya.

Lebih daripada 600 kediaman musnah dan enam individu terbunuh sejak krisis berkenaan bermula September lalu.

Jumlah itu adalah lebih sedikit berbanding 200 kematian dalam kebakaran paling dahsyat di Australia pada 2009, namun kesan kerosakan tahun ini jauh lebih besar. - AFP

Berita Harian X