Khamis, 12 Disember 2019 | 10:16am
Israel akan mengadakan pilihan raya pada 2 Mac ini, yang ketiga dalam masa tidak sampai setahun. - Foto AFP
Israel akan mengadakan pilihan raya pada 2 Mac ini, yang ketiga dalam masa tidak sampai setahun. - Foto AFP

Pilihan raya ketiga Israel ditetapkan 2 Mac

BAITULMAQDIS: Israel akan mengadakan pilihan raya pada 2 Mac ini, yang ketiga dalam masa tidak sampai setahun.

Ia diputuskan Parlimen hari ini selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan pencabarnya, Benny Gantz, gagal memperoleh kemenangan pada dua pilihan raya sebelum ini untuk membentuk kerajaan baharu.

Dengan 94 undian menyokong dan tiada bantahan, ahli perundangan Israel meluluskan usul membubarkan Parlimen dan menetapkan tarikh pilihan raya baharu.

Ia dilakukan beberapa jam selepas tarikh akhir membentuk kerajaan selepas pilihan raya September lalu berakhir.

Dalam pilihan raya itu, dan proses pengundian pada April, Parti Likud pimpinan Netanyahu terikat dengan parti Blue and White pimpinan Gantz.

Kedua-dua parti tidak mendapat sokongan mencukupi dalam Knesset yang mempunyai 120 kerusi untuk membantu kerajaan campuran stabil.

Bagaimanapun, pilihan raya akan datang, akan dijalankan dengan dibayangi pendakwaan rasuah ke atas Netanyahu bulan lalu.

Menafikan sebarang salah laku, Netanyahu, 70, menuduh pihak berkuasa perundangan cuba melakukan rampasan kuasa bertujuan menyingkirkannya.

Pengkritik mendakwa Netanyahu cuba memandang rendah peraturan undang-undang dan menempatkan tema kempen pilihan raya yang menggambarkan dirinya sebagai mangsa konspirasi elemen tertentu dalam kerajaan.

Sebagai Perdana Menteri, beliau tidak perlu meletak jawatan disebabkan pendakwaan, dan boleh meminta ahli perundangan memberikan beliau imuniti daripada pendakwaan. —Reuters

Berita Harian X