Jumaat, 13 Disember 2019 | 9:33pm
Penunjuk perasaan melaungkan slogan ketika bantahan menentang Rang Undang-undang Pindaan Kerakyatan (CAB) di Guwahati semalam. -Foto AFP
Penunjuk perasaan melaungkan slogan ketika bantahan menentang Rang Undang-undang Pindaan Kerakyatan (CAB) di Guwahati semalam. -Foto AFP
Bantahan menentang Rang Undang-undang Pindaan Kerakyatan (CAB) di Guwahati semalam memaksa pembatalan kunjungan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe ke Assam yang dilanda rusuhan. -Foto AFP
Bantahan menentang Rang Undang-undang Pindaan Kerakyatan (CAB) di Guwahati semalam memaksa pembatalan kunjungan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe ke Assam yang dilanda rusuhan. -Foto AFP

Abe batal kunjungan ke Assam susulan bantahan

NEW DELHI: Pertembungan ganas meletus antara polis dan ribuan pelajar universiti di sini, hari ini berhubung kelulusan rang undang-undang kerakyatan kontroversi dengan rusuhan menyebabkan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe membatalkan kunjungan ke Assam, India.

Undang-undang baharu itu menawarkan kerakyatan India kepada enam kumpulan minoriti agama dari negara jiran Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan termasuk penganut Hindu dan Kristian, namun dinafikan kepada minoriti Islam, yang dikatakan pengkritik melemahkan asas sekular India.

Polis melepaskan gas pemedih mata serta menggunakan cota untuk menyuraikan sejumlah besar pelajar yang membuat bantahan di Universiti Jamia Millia Islamia di tengah ibu kota ini berhubung undang-undang itu.

Penunjuk perasaan menyerang kenderaan di ibu kota ini dan beberapa orang cedera serta dibawa ke hospital.

Seorang pelajar doktor falsafah (PhD) dalam tugas sosial, Zakir Riyaz berkata, undang-undang baharu itu menimbulkan kemarahan terhadap keterbukaan agama India.

“Ia bertentangan terhadap idea sebuah negara sekular India,” katanya bercakap menerusi telefon dari Hospital Holy Family di sini di mana 15 rakannya dirawat selepas cedera dipukul cota polis.

Akhbar Mirror Now menunjukkan rakaman pelajar berdiri di atas penghadang dan polis cuba mengusir mereka.

Pejabat hak asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan bahawa undang-undang baharu itu ‘pada asasnya bersikap diskriminasi’ dan menggesanya disemak semula.

Dua orang terbunuh di negeri Assam India semalam apabila polis melepaskan tembakan ke arah samseng yang membakar bangunan dan menyerang stesen kereta api dalam bantahan undang-undang baharu kerakyatan diluluskan semalam.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe membatalkan kunjungan ke Assam untuk pertemuan dengan rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi, dijangka Ahad ini.

Jepun meningkatkan kerja pembangunan infrastruktur di Assam sejak beberapa tahun lalu dengan kedua-dua pihak dijangka membincangkannya dalam pertemuan itu. Abe juga merancang mengunjungi tugu peringatan di Manipur di mana tentera Jepun terkorban dalam Perang Dunia Kedua.

“Berikutan cadangan kunjungan PM Jepun @AbeShinzo ke India, kedua-dua pihak memutuskan untuk menangguhkan lawatan ke tarikh dipersetujui akan datang,” kata jurucakap Kementerian Luar India, Raveesh Kumar dalam tweet. -Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X