Rabu, 25 Disember 2019 | 4:30pm
ANGGOTA bomba Australia mengambil kesempatan cuaca lebih sejuk pada Hari Krismas untuk cuba membendung kebakaran belukar.
ANGGOTA bomba Australia mengambil kesempatan cuaca lebih sejuk pada Hari Krismas untuk cuba membendung kebakaran belukar.

Anggota bomba Australia bergelut padam kebakaran ketika Krismas

MELBOURNE: Anggota bomba Australia mengambil kesempatan cuaca lebih sejuk pada Hari Krismas untuk cuba membendung kebakaran belukar sebelum keadaan lebih panas dan kering pada hujung minggu ketika pemimpin dan masyarakat mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sanggup berkorban masa bersama keluarga ketika musim perayaan.

Di New South Wales (NSW) yang menyaksikan keseluruhan bandar musnah akibat kebakaran hujung minggu lalu, Perdana Menterinya, Gladys Berekjiklian dan ketua perkhidmatan bomba luar bandar Shane Fitzsimmons, meluangkan masa bersarapan bersama sukarelawan di bandar kecil Colo, sejauh 90 kilometer di barat laut Sydney.

“Sukarelawan komuniti menyediakan makanan, berbual, membalut hadiah dan hamper untuk berkongsi bersama kru yang berjuang di lapangan. Tindakan itu sangat dihargai dan mereka amat bersemangat,” Fitzsimmons menulis tweet.

Krismas diraikan dengan cuaca lebih sejuk di kebanyakan tempat di Australia ketika anggota bomba, ramai di antaranya sukarelawan, menghabiskan masa sepanjang hari memadam kebakaran.

Keadaan cuaca panas melampau diramalkan kembali semula hujung minggu terutama di selatan Australia di mana suhu dijangka melepasi 40 darjah Celsius.

Tempoh beberapa bulan lalu menyakskan lebih 900 rumah musnah di seluruh negara, menurut pihak berkuasa, walaupun musim panas hemisfera selatan belum mencapai titik pertengahan.

Kebakaran itu memusnahkan lebih 3.7 juta hektar kawasan di seluruh lima negeri dan menyebabkan sekurang-kurangnya enam maut di NSW dan dua lagi di Australia Selatan.

Perdana Menteri Scott Morrison menggunakan mesej Hari Krismas untuk mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan dan kesediaan mereka menghabiskan masa berjauhan dari keluarga.

Morrison berdepan tekanan meningkat politik ketika kebakaran semakin teruk di Australia susulan keputusannya bercuti di Hawaii bersama keluarga minggu lalu dan dasar cuaca kerajaan pakatan konservatif Liberal-Nasional pimpinannya. -Reuters

Berita Harian X