Jumaat, 27 Disember 2019 | 3:48pm
Sekurang-kurangnya 15 orang maut apabila pesawat yang membawa 93 penumpang dan lima kru terhempas berhampiran bandar Almaty di Kazakhstan. - Foto AFP
Sekurang-kurangnya 15 orang maut apabila pesawat yang membawa 93 penumpang dan lima kru terhempas berhampiran bandar Almaty di Kazakhstan. - Foto AFP

15 maut, 66 cedera pesawat terhempas di Kazakhstan

ALMATY: Sekurang-kurangnya 15 orang maut apabila pesawat milik syarikat penerbangan Bek Air yang membawa 93 penumpang dan lima kru terhempas berhampiran bandar Almaty di Kazakhstan, hari ini sejurus ia berlepas, kata pihak berkuasa di negara Asia Tengah.

Jawatankuasa Penerbangan Awam Kazakhstan berkata, pesawat jenis Fokker 100 dilaporkan menuju ke bandar Nur-Sultan ketika penerbangan waktu subuh dan ‘hilang kawalan semasa berlepas dan merempuh pagar konkrit serta sebuah bangunan dua tingkat.

Seorang mangsa terselamat memberitahu laman web Tengrinews bahawa dia mendengar ‘bunyi menakutkan’ sebelum pesawat itu hilang kawalan.

“Pesawat itu terbang condong. Segala-galanya seperti adegan filem iaitu bunyi jeritan, pekikan dan orang menangis,” katanya.

Seorang wartawan Reuters dalam perjalanan ke lapangan terbang selepas nahas berkata, terdapat asap tebal di kawasan kejadian.

Sementara itu, pihak berkuasa perbandaran berkata, sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 66 yang lain cedera dibawa ke hospital berdekatan.

Kementerian Dalam Negeri Kazakhstan berkata, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan terdapat pelanggaran operasi dan peraturan keselamatan. -Reuters.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X