X
Selasa, 31 Disember 2019 | 7:54am

Iran rampas kapal, tahan 16 kru warga Malaysia

TEHERAN: Pengawal Revolusi Iran merampas kapal disyaki menyeludup bahan api dan menahan 16 kru warga Malaysia, lapor media semalam.

Laman web stesen televisyen IRIBV melaporkan, unit elit itu turut merampas 1.3 juta liter bahan api yang diseludup daripada kapal tidak dinamakan yang berada 15 batu nautika dari pulau Abu Musa.

“Enam belas kru warga Malaysia kapal berkenaan ditangkap”, kata komander laut unit itu bagi rantau berkenaan, Brigadier Jeneral Ali Ozmayi.

Abu Musa adalah antara tiga pulau di selatan Teluk yang berada dalam kawalan Iran tetapi dituntut oleh Emiriah Arab Bersatu.

“Ini adalah kapal keenam menyeludup bahan api yang dirampas Pengawal Revolusi,” katanya.

September lalu, Iran merampas sebuah bot dan menangkap 12 kru Filipina disyaki rangkaian penyeludupan bahan api di Selat Hormuz, lapor media.

Pengawal Revolusi menahan ‘kapal tangki asing’ di perairan Teluk pada 14 Julai kerana disyaki menyeludup bahan bakar terlarang.

Tehran juga merampas satu lagi kapal pada 31 Julai dengan tujuh kru asing berhubung penyeludupan bahan api, tetapi tidak mendedahkan identiti kapal atau kerakyatan kru.

Ketegangan memuncak di Teluk tahun ini, selepas Amerika Syarikat meningkatkan kempen tekanan maksimum ke atas republik berkenaan susulan pengunduran daripada perjanjian nuklear bersejarah pada 2018.

Ketegangan menyaksikan kapal diserang secara misteri, dron ditembak jatuh dan kapal tangki minyak dirampas di Selat Hormuz.

Pada 19 Julai, unit berkenaan merampas kapal Britain, Stena Impero, atas dakwaan melanggar bot nelayan dan membebaskan ia dua bulan kemudian. —Agensi

Berita Harian X