Selasa, 31 Disember 2019 | 9:38am

Australia teruskan pertunjukan bunga api

SYDNEY: Bandar raya Sydney diselubungi asap hari ini, ketika kepanasan melampau dan angin menyemarakkan kebakaran hutan di tenggara Australia, tetapi pertunjukan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu akan diteruskan di sebalik kebimbangan masyarakat.

Pihak berkuasa menggesa pelancong di New South Wales (NSW) mengunjungi pantai untuk mengelakkan kebakaran di bandar peranginan popular, yang sesak dengan khemah dan karavan.

“Mendapatkan perlindungan dan mengutamakan keselamatan anda berada dekat dengan pantai, ia pilihan lebih selamat,” kata Pesuruhjaya Bomba Pedalaman NSW, Shane Fitzsimmons.

Kebanyakan kebakaran dicetuskan petir, katanya, memberi amaran keadaan

semakin buruk, dengan kebakaran berkemungkinan membara susulan petir sejak dua atau tiga hari lalu.

“Dengan keadaan panas dan kering berangin, kami menjangka dapat melihat kebakaran baharu bermula disebabkan aktiviti berkenaan,” kata Fitzsimmons.

Pasukan bomba memberikan kebenaran pertunjukan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu di Sydney Harbour, walaupun selepas sebahagian komuniti dan ahli politik Buruh menggesa ia dibatalkan, merujuk kebimbangan risiko kebakaran dan bersolidariti dengan pekan lain di wilayah itu yang terpaksa membatalkan acara tahunan berkenaan.

Semalam, seorang sukarelawan bomba meninggal dunia, yang ketiga sejak siri kebakaran hutan bermula. — Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X