Rabu, 1 Januari 2020 | 5:56pm
PENGERUSI Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India, K Sivan. - Foto AFP

India pantas luluskan misi bulan ke-3

BENGALURU: India meluluskan misi bulan ketiga hanya beberapa bulan selepas misi terdahulunya gagal mendarat di bulan, menurut agensi angkasa negara itu, hari ini, dalam usaha terbaharu cita-citanya menjadi kuasa angkasa kos rendah.

Misi Chandrayaan-3 akan mempunyai jentera pendaratan dan perayau, namun bukan pengorbit, kata Pengerusi Pertubuhan Penyelidikan Angkasa India, K Sivan di ibu pejabat agensi itu di Bengaluru.

September lalu, misi Chandrayaan-2 berjaya menghantar sebuah pengorbit bulan yang menghantar data kembali ke bumi, namun gagal meletakkan perayau di permukaan bulan, susulan pendaratan kasar.

Tujuan misi itu adalah untuk mendarat di kutub selatan bulan di mana tiada misi bulan lain pernah sampai.

Kawasan itu dipercayai mempunyai air di permukaan dan sebahagiannya tidak terjejas akibat suhu tinggi matahari. - Reuters

Berita Harian X